liza09/02/2026 - 10:32 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 9 Feb – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM117 juta bagi pelaksanaan lapan program utama untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) pada tahun 2026 di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) melalui SME Corp. Malaysia.
SME Corp adalah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Program ini bertujuan membantu PMKS meningkatkan saiz perniagaan dan daya saing di pasaran tempatan dan global.
SME Corp yang berperanan sebagai pusat rujukan dan penyelaras pembangunan PMKS, telah melancarkan sesi perkongsian dengan wakil PMKS, persatuan dan dewan perniagaan semasa Hari Terbuka@Hab PMKS yang berlangsung di Platinum Sentral baru-baru ini.
Sesi ini memberi pendedahan kepada peserta mengenai inisiatif penskalaan PMKS di bawah RMK13.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia Rizal Nainy, penskalaan PMKS merupakan agenda utama kerajaan untuk melonjakkan pertumbuhan ekonomi dan membentuk ekosistem perniagaan yang lebih berdaya tahan dan berdaya saing.
“Program RMK13 menyasarkan peningkatan jumlah firma sederhana daripada 1.6 peratus kepada 5 peratus menjelang 2030.
“Peningkatan ini dijangka mampu menyumbang sehingga RM1 trilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melalui perkembangan sektor PMKS yang lebih berdaya saing dan berdaya tahan,” katanya.

Hari Terbuka@Hab PMKS merupakan salah satu inisiatif SME Corp. Malaysia bagi meningkatkan fungsi agensi sebagai pusat rujukan utama maklumat serta khidmat nasihat untuk PMKS.
Inisiatif ini telah dijalankan sejak Januari 2024 dan memberi manfaat kepada lebih 100 PMKS setiap bulan melalui kerjasama strategik dengan pelbagai kementerian, agensi kerajaan, dan pihak swasta.
Antara tokoh yang hadir pada sesi Januari 2026 ialah Pengerusi SME Corp. Malaysia, Tan Sri Bernard Giluk Dompok, Presiden SAMENTA, Datuk William Ng dan Presiden PERDASAMA, Mohd Azamanizam Baharon.
Turut hadir adalah wakil daripada Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Persekutuan Pengilangan Malaysia, Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil, serta Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia.
Program yang ditawarkan oleh SME Corp. Malaysia tahun 2026 menyasarkan pengembangan PMKS dari peringkat mikro ke kecil, dan daripada kecil ke sederhana.
Langkah ini seiring dengan usaha kerajaan membentuk ekosistem PMKS yang lebih kukuh, berdaya tahan dan mampu bersaing di pasaran antarabangsa.
SME Corp. Malaysia, yang pada asalnya dikenali sebagai SMIDEC ketika ditubuhkan pada 2 Mei 1996, telah dinamakan semula pada 2 Oktober 2009. Agensi ini bertanggungjawab menyelaras pelaksanaan dasar dan strategi PMKS di seluruh kementerian serta menyediakan data, penyelidikan, dan khidmat nasihat berkaitan perniagaan kecil dan sederhana.
Dengan penekanan kepada penskalaan, keterangkuman, dan pertumbuhan tinggi, SME Corp. Malaysia memainkan peranan penting dalam memastikan PMKS mendapat bimbingan dan sokongan yang menyeluruh, termasuk akses kepada program latihan, pembiayaan, dan peluang pasaran baharu. - DagangNews.com
