
MEMBAKUT: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM15 juta bagi menaik taraf sistem pengairan kawasan penanaman padi di daerah ini menerusi pelaksanaan projek oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di bawah Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (Maffi).
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata projek itu bertujuan meningkatkan pengeluaran padi, memperkukuh produktiviti sektor pertanian serta menarik lebih ramai golongan muda menceburi bidang berkenaan.
Beliau berkata pelaksanaan projek itu dibuat susulan maklum balas yang diterimanya melalui media sosial berhubung kekangan dihadapi pesawah, termasuk dakwaan terdapat kawasan sawah di Membakut yang tidak lagi dapat diusahakan.
“Saya telah berbincang dengan Adun Membakut, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan kami telah turun padang melihat sendiri keadaan di lapangan. Antara perkara yang diberi keutamaan ialah penyelesaian masalah sistem pengairan di daerah Membakut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke kawasan pertanian dan sawah padi di Kampung Pimping, di sini, pada Khamis.
Menurutnya, kontraktor bagi projek berkenaan telah dilantik dan pelaksanaannya dijangka memberi manfaat secara langsung kepada kira-kira 350 ekar kawasan sawah padi di daerah itu.
Jamawi berkata hasil lawatan tersebut mendapati tiga isu utama yang dihadapi pesawah tempatan ialah kelemahan sistem pengairan, kekurangan jentera pertanian dan gangguan ternakan liar.
Katanya, bagi mengatasi masalah kekurangan jentera, Maffi akan bekerjasama dengan Lembaga Pertubuhan Peladang bagi menyediakan kemudahan mekanisasi termasuk mesin, dron dan jentera menuai bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manual serta meningkatkan hasil pengeluaran.
Bagi menangani masalah ternakan liar pula, katanya, kementerian akan berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah untuk mengenal pasti serta menaik taraf kawasan padang ragut bagi mengelakkan lembu dan kerbau menceroboh kawasan sawah.
Selain Kampung Pimping, Jamawi turut melawat kawasan sawah padi di Kampung Bingkulas, Kampung Mandaya dan Kampung Takak bagi meninjau keadaan sebenar di lapangan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata penglibatan golongan muda dalam sektor penanaman padi di Membakut menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan, dengan kira-kira 60 peratus daripada 120 pengusaha sawah di daerah itu terdiri daripada mereka yang berusia antara 25 hingga 40 tahun.
“Ini satu perkembangan yang sangat positif. Kita melihat semakin ramai generasi kedua mengambil alih perusahaan keluarga dan meneruskan aktiviti penanaman padi.
“Perkara ini memberi keyakinan bahawa sektor padi masih mempunyai masa depan yang cerah sekiranya kemudahan dan sokongan yang mencukupi disediakan,” katanya.
Beliau berkata penglibatan aktif golongan muda amat penting dalam membantu kerajaan mencapai sasaran meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) beras Sabah kepada 40 peratus menjelang 2030.
Selain kawasan sawah, Jamawi turut melawat ladang komersial tanaman sayuran jenis buah seperti cili, terung dan timun yang diusahakan usahawan muda Bryon Chung Sze Vui, 33, yang juga mentor Program Inisiatif Kebun Dapur.
Turut hadir Pembantu Menteri Maffi merangkap Adun Lumadan, Datuk Ruslan Muharam; Pengurus Besar Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS), Datuk Dr Ramle Kasin; Ketua Cawangan JPS Sabah, Ir Jaffri Bahan; Pegawai Daerah Membakut, Yuesri Ismail Yusof; Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian Sabah, Jackson R. Jaimi dan Timbalan Pengurus Besar Lembaga Pemasaran Pertanian Sabah (Sama), Datuk Shawn Davey.


