RM150,000 naik taraf dewan terbuka Kampung Kenanga, 500 penduduk terima manfaat

LocalPolitics
19 Oct 2026 • 3:48 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

RM150,000 naik taraf dewan terbuka Kampung Kenanga, 500 penduduk terima manfaat

GOMBAK, 19 OKT: Kira-kira 500 penduduk Kampung Kenanga, Rawang bakal menikmati kemudahan dewan terbuka yang lebih selesa selepas kerja naik taraf bernilai RM150,000 dilaksanakan secara berperingkat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang berkata, peruntukan itu merangkumi RM100,000 menerusi program Sejati MADANI pada tahun lalu bagi pembinaan bumbung, manakala RM50,000 di bawah Projek Selangor Penyayang (PSP) pada tahun ini digunakan untuk pemasangan jubin lantai serta penambahbaikan kemudahan lain.

Chua Wei Kiat berkata, kerja naik taraf itu bertujuan meningkatkan keselesaan penduduk ketika menggunakan dewan berkenaan untuk pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Image from: RM150,000 naik taraf dewan terbuka Kampung Kenanga, 500 penduduk terima manfaat
Ahli Dewan Negeri Rawang, Chua Wei Kiat

“Tahun lalu kita tambah bumbung, tahun ini kita naik taraf lantai jubin untuk memberi lebih keselesaan kepada mereka yang menggunakan kemudahan ini.

“Akhirnya kita dapat usahakan satu dewan seperti ini supaya masyarakat boleh menggunakan dewan ini untuk program, kenduri dan sebagainya. Itu tujuan utama kita buat pelaksanaan ini,” katanya.

Terdahulu, Wei Kiat bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Kenanga Sukria Yahya meninjau kerja naik taraf dewan berkenaan, di sini hari ini.

Image from: RM150,000 naik taraf dewan terbuka Kampung Kenanga, 500 penduduk terima manfaat
Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang, Chua Wei Kiat bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Kenanga Sukria Yahya meninjau projek menaik taraf Dewan JPKK Kampung Kenanga Rawang, Gombak pada 19 Oktober 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Dewan itu digunakan penduduk berbilang kaum untuk pelbagai aktiviti, termasuk majlis perkahwinan, program sekolah dan aktiviti kesihatan, sekali gus menjadi ruang untuk mengeratkan hubungan dalam komuniti.

Sementara itu, Sukria berkata, dewan berkenaan dibangunkan di kawasan yang sebelum ini menempatkan bangunan terbiar.

Image from: RM150,000 naik taraf dewan terbuka Kampung Kenanga, 500 penduduk terima manfaat
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Kenanga Sukria Yahya

“Dewan ini pelbagai guna oleh masyarakat, termasuklah program sekolah,  majlis kahwin dan keraian memang ramai mahu gunakan. 

“Diharap dewan ini dapat menjadikan kawasan kampung sebagai pusat aktiviti komuniti yang lebih aktif, selesa dan mampu dimanfaatkan penduduk setempat,” katanya.

PSP yang diperkenalkan pada 2022 menyediakan peruntukan bagi kerja menaik taraf, membaik pulih dan menyelenggara kemudahan awam di seluruh Selangor.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved