
KERAJAAN Negeri memperuntukkan sejumlah RM16.42 juta bagi melaksanakan program untuk melahirkan pemimpin belia berkualiti tinggi, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata Program Pembangunan Kepimpinan Belia yang akan dilaksanakan itu merangkumi aktiviti kesukarelawanan dan perpaduan sosial.
“Kerajaan Negeri menumpukan usaha memperkasakan modal insan agar sentiasa kompeten, inovatif, berdaya tahan dan berintegriti,” katanya pada Program Bicara Pemimpin Muda Bersama Ketua Menteri sempena Hari Anti Dadah 2023 Peringkat Negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di Kota Kinabalu pada 6 Mac.
Hajiji berkata pelbagai inisiatif telah diperkenalkan untuk belia di negeri ini sejak beliau menerajui Kerajaan Negeri pada September 2020.
“Dalam bidang pendidikan, kerajaan telah melaksanakan beberapa program antaranya Bantuan Wang Tunai Pendaftaran Institut Pengajian Tinggi, Bantuan Tunai Khas Peperiksaan yang menyasarkan pelajar yang menduduki SPM, STPM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
“Inisiatif lain ialah Bantuan Ihsan Komputer (Baik), Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (Bisbah), Bantuan Aktiviti Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru Sabah (Bagus), Bantuan Ihsan Tabung Pendidikan Negeri (Bistari) dan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (Aksa),” katanya.
Hajiji berkata, kerajaan turut mewujudkan Tabung Pendidikan Sabah (TPNS) yang menjadi asas bagi membolehkan lebih ramai anak Sabah berpeluang mengikuti pengajian di Institusi Pengajian Tinggi dalam dan luar negara.
Menurutnya, kerajaan turut menubuhkan Sekretariat Pelajar Malaysia Sabah (Semesta) bagi menyokong persatuan pelajar di semua Institusi Pengajian Tinggi di seluruh negara selain untuk pelajar menyuarakan pandangan, idea dan cadangan demi pembangunan dan kemajuan Sabah.
“Komitmen Kerajaan Negeri bukan sahaja dalam aspek pendidikan, malah dalam bidang keusahawanan dengan beberapa skim keusahawanan diperkenalkan seperti Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (Syabas) yang membantu belia yang terlibat dalam perniagaan kembali bangkit setelah dilanda pandemik Covid-19.
“Program ini akan diteruskan dan saya mencadangkan agar Majlis Belia Sabah (MBS) boleh menjadi tenaga penggerak penting bagi pelaksanaan Syabas tahun ini,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan Felo Sabah Maju Jaya (SMJ) yang bermula tahun lalu, akan diteruskan tahun ini di bawah Inkubator Kepimpinan Belia Sabah (IKBS) bersama Presiden MBS yang akan menyelaras program itu dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) dan Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (Ikrar).
“Kerajaan Negeri juga akan sentiasa mendengar dan memberi tumpuan kepada suara anak muda di Negeri ini kerana pandangan dan pendapat mereka amat diperlukan bagi menjayakan Rancangan Pembangunan Sabah Maju Jaya.
“Justeru, dalam Belanjawan Sabah 2023, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM97.5 juta untuk pembangunan belia dan sukan di Sabah,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

