IPOH - Perak bakal menerima pelaburan baharu bernilai RM160 juta dalam industri automotif di Tanjung Malim Hi-Tech Park, kata Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Beliau berkata, pelaburan itu melibatkan syarikat Yantai Yatong Precision Mechanical Technology dari China yang menyatakan hasrat untuk mengembangkan operasi mereka dengan membina kilang pertama di luar negara di negeri ini.
Menurutnya, perkembangan positif itu susulan kunjungan delegasi kerajaan negeri ke syarikat berkenaan di Changshu, Suzhou pada Khamis.
“Syarikat yang berpengalaman lebih 20 tahun ini membekalkan komponen automotif bagi pelbagai jenama kenderaan terkemuka dunia,”
“Dengan jumlah pelaburan bernilai RM160 juta di Tanjung Malim Hi-Tech Park, ia akan merancakkan lagi landskap automotif negara khususnya Perak sebagai hab industri automotif serantau," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus memberikan komitmen tinggi bagi memastikan lebih banyak pelaburan berkualiti, khususnya dalam sektor automotif, dapat ditempatkan di Perak.
“Ini sekali gus menjana peluang pekerjaan berkualiti kepada anak-anak tempatan,” ujarnya.
**media[3529248]**Dalam perkembangan sama, Saarani berkata, delegasi kerajaan negeri turut meneruskan lawatan kerja ke Shanghai dengan mengadakan kunjungan teknikal ke Taopu Smart City bersama Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah.
Katanya, lawatan tersebut memberi pendedahan secara langsung mengenai pelaksanaan pembangunan bandar pintar yang melibatkan penggunaan teknologi seperti digital twin, Internet of Things (IoT), sistem pusat kawalan (command centre) dan pengurusan bandar secara masa nyata.
“Menariknya, Taopu Smart City ini dahulunya merupakan kawasan industri sebelum ditransformasikan menjadi bandar pintar moden yang lebih tersusun, cekap dan mesra teknologi.
“Banyak perkara yang boleh dijadikan contoh, terutama dalam penggunaan data dan sistem pemantauan berpusat untuk membantu pengurusan bandar dengan lebih cekap dan teratur,” katanya.
Tambah beliau, pengalaman dan ilmu yang diperoleh itu amat penting dalam memperkukuh agenda pembangunan bandar pintar di Perak, khususnya bagi memperkasa peranan Ipoh Integrated Operation Centre (IIOC).
Menurutnya, kerajaan negeri juga sedang membuat persediaan awal untuk membangunkan Perak State Command Centre pada masa akan datang.
“Pembangunan ini penting bagi memudahkan pemantauan operasi, penyelarasan data serta tindakan lebih pantas antara agensi.
“Insya-ALLAH, kita akan terus belajar dan meneroka pendekatan baharu supaya pengurusan bandar di Perak menjadi lebih cekap, moden dan memberi manfaat terus kepada rakyat,” katanya.
