johardy29/07/2026 - 18:15 Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad menyantuni pekebun kecil sawit dalam Program Salam Agrikomoditi Daerah Port Dickson, Negeri Sembilan pada 29 Julai 2026. - Gambar KPK Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Julai – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM190.13 juta menerusi Program Insentif Pembiayaan Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil (TSPKS 2.0) sehingga 30 Jun 2026, sekali gus memberi manfaat kepada 4,364 pekebun kecil persendirian di seluruh negara.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, pembiayaan itu melibatkan kawasan tanaman seluas 12,145.51 hektar dan bertujuan membantu pekebun kecil melaksanakan penanaman semula pokok sawit yang telah melepasi umur ekonomi bagi meningkatkan produktiviti ladang, hasil serta pendapatan.
Katanya, kerajaan telah meluluskan peruntukan keseluruhan RM200 juta bagi pelaksanaan TSPKS 2.0, merangkumi RM100 juta pada 2024, RM50 juta pada 2025 dan RM50 juta pada 2026.
Bagi tahun ini, sehingga 30 Jun 2026, sebanyak RM47.61 juta telah diluluskan kepada 1,133 pekebun kecil di bawah program tersebut.
Kadar tanam semula meningkat
Menurut beliau, pelaksanaan TSPKS 2.0 turut menyumbang kepada peningkatan kadar penanaman semula kelapa sawit negara daripada 2.0% pada 2024 kepada 3.4% pada 2025.
"KPK menyasarkan kadar penanaman semula sekurang-kurangnya 4% setahun menjelang 2030 bagi memastikan produktiviti industri sawit negara terus dipertingkatkan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi mencapai sasaran itu, kementerian akan terus memperluaskan pelaksanaan TSPKS 2.0 selain menggalakkan penggunaan bahan tanaman berkualiti tinggi, memperkasakan peranan Pegawai TUNAS Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) serta meningkatkan penggunaan mekanisasi dan automasi dalam sektor perladangan.
Di samping itu, penyertaan pekebun kecil secara berkelompok menerusi Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) akan terus diperkukuh bagi meningkatkan kecekapan pengurusan ladang dan daya saing pekebun.
Noraini berkata, penanaman semula merupakan pelaburan penting untuk memastikan pokok sawit yang lebih produktif, sekali gus meningkatkan hasil dan pendapatan pekebun kecil serta menjamin kelangsungan industri sawit negara.
Beliau menegaskan, KPK kekal komited memastikan industri sawit negara terus produktif, berdaya saing dan mampan, di samping meningkatkan kesejahteraan pekebun kecil. – DagangNews.com






