
NABAWAN: Tiga projek infrastruktur bernilai RM2.5 juta di bawah Inisiatif Projek Kampung Angkat Madani di Kampung Salong, Mukim Pagalungan sedang dilaksanakan, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup.
Beliau berkata, projek tersebut ialah pembinaan pusat jualan dan jeti perikanan di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), pembinaan gerai Agrobazar di bawah seliaan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), dan pembinaan jambatan gantung konkrit baharu bagi menggantikan jambatan gantung sedia ada, yang menjadi laluan utama penduduk dan pelajar SK Kuala Salong.
“Dengan adanya kemudahan asas dan peluang ekonomi lebih baik di kampung sendiri, penduduk, terutamanya golongan belia, tidak perlu lagi berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan atau kehidupan yang lebih baik.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“Ini juga dapat membantu mengekalkan struktur sosial dan budaya masyarakat Kampung Salong,” katanya ketika melawat Tapak Projek Naik Taraf Infrastruktur Kampung Salong di sini, pada Sabtu.
Menurut beliau, inisiatif Projek Kampung Angkat Madani di kampung ini, yang dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), akan menyaksikan pembangunan infrastruktur asas yang memberi impak besar terhadap pembangunan holistik komuniti setempat.
Beliau berkata, projek ini yang bertujuan meningkatkan kualiti hidup dan memacu pembangunan sosioekonomi komuniti setempat akan membantu merapatkan jurang pembangunan infrastruktur di kawasan tersebut.
Arthur, yang juga Ahli Parlimen Pensiangan, menekankan komitmen kerajaan Madani untuk terus memperkasa kawasan luar bandar melalui inisiatif seperti Projek Kampung Angkat Madani.
“Kampung Salong adalah contoh kejayaan bagaimana pendekatan holistik dan kerjasama rapat antara kerajaan, komuniti dan pihak berkepentingan lain dapat membawa perubahan besar kepada kehidupan masyarakat luar bandar.
“Kejayaan Projek Kampung Angkat Madani di kampung ini adalah bukti jelas kerajaan Madani prihatin terhadap keperluan rakyat di semua peringkat masyarakat, termasuk mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.
“Kami percaya dengan menyediakan infrastruktur asas yang berkualiti, kita dapat membuka sepenuhnya potensi komuniti setempat dan memacu pembangunan negara yang inklusif,” tambahnya.
Arthur berkata, KPKM akan terus bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memastikan kesinambungan dan keberkesanan Projek Kampung Angkat Madani.
Menurut beliau, pemantauan berkala dan penilaian impak akan dilaksanakan bagi memastikan objektif projek tercapai dan memberi manfaat berpanjangan kepada komuniti Kampung Salong.


