
RANAU: Pasukan atau kelab bola sepak dari seluruh negeri, khususnya di Ranau, dijemput menyertai Kejohanan Bola Sepak Piala Parlimen P.179 Ranau yang akan berlangsung di Padang A dan B Kompleks Sukan Ranau pada 9 hingga 10 Ogos ini.
Edisi kedua kejohanan ini dianjurkan oleh Ranau Clasico dengan kerjasama Pejabat Parlimen Ranau.
Kejohanan ini menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM20,000 kepada juara, RM13,000 kepada naib juara dan RM6,000 kepada dua pasukan yang berkongsi tempat ketiga.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Pengerusi Pasukan Ranau Clasico yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Romzie @ Likad Muhamad berkata empat pasukan yang tewas di peringkat suku akhir juga akan menerima saguhati sebanyak RM1,000 setiap satu.
“Mereka yang berminat untuk menyertai kejohanan ini boleh menghantar borang pendaftaran pemain beserta yuran penyertaan sebelum atau pada 10 Julai 2025,” katanya.
Menurutnya, setiap pasukan perlu mematuhi ‘Kouta Pemain’ iaitu mendaftar pemain termasuk pemain berusia 50 tahun (empat orang dalam kawasan padang), 45 tahun (empat), 40 tahun (dua) serta penjaga gol yang berusia lebih 40 tahun.
Sebanyak 32 pasukan dari seluruh Sabah dan satu pasukan dari Kuala Lumpur dijangka menyertai kejohanan ini yang akan dirasmikan oleh Ahli Parlimen Ranau Datuk Jonathan Yasin pada 10 Ogos.
“Objektif utama adalah untuk menghimpunkan kelab bola sepak dari seluruh Sabah bagi mengeratkan lagi hubungan antara kelab-kelab bola sepak di negeri ini secara amnya.
“Kami turut menerima penyertaan pasukan dari Kuala Lumpur bagi edisi kedua ini. Sehubungan itu, kami juga menjemput penduduk Ranau dan kawasan sekitarnya untuk hadir memeriahkan lagi kejohanan ini,” katanya.
Romzie menambah, mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut boleh menghubunginya di 017-8669996.

