
TAWAU: Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kalabakan menyalurkan peruntukan kilat RM200,000 untuk membina semula tiga jambatan penghubung yang musnah dalam kebakaran di Kg Tanjung Batu Laut Logpond pada Rabu lalu.
Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, jambatan kayu itu adalah satu keperluan penting penduduk agar mereka dapat membina semula rumah bagi yang berkemampuan.
“Kita akan bina segera jambatan penghubung itu kerana penduduk memerlukan laluan tersebut untuk ke tapak rumah masing-masing.
“Kita juga akan melakukan segala upaya untuk membantu mangsa kebakaran ini, termasuk cuba memohon rumah Mesra Rakyat SMJ,”katanya kepada media selepas menyampaikan sumbangan kepada 264 mangsa kebakaran di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Dewan Kompleks Sukan Tawau, pada Sabtu.
SPONSORED CONTENT Sabah revenue hits RM6.97 billion: Hajiji says GRS State Government may see full term Kota Kinabalu: The Sabah Government continued its momentum in managing the economy in line with the commitment and spirit of the Sabah Maju Jaya (SMJ) when it posted record high state revenue of RM6.973 billion last year. Read more Beliau menyerahkan sumbangan berupa barangan dapur, peralatan sekolah dan sumbangan peribadi kepada mangsa terlibat.
Berkenaan status tapak kebakaran itu, beliau yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan berkata, penduduk terlibat akan dibenarkan membina semula rumah di tapak masing-masing.
Namun, mereka perlu mematuhi peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT), termasuk pembahagian lot agar pembinaan struktur rumah akan lebih teratur.
Dalam pada itu, beliau bersimpati dengan para mangsa terlibat kerana musibah tidak terduga itu berlaku ketika umat Islam bakal menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan dan anak-anak memulakan sesi persekolahan sesi 2024/2025.
“Semoga semua mangsa terus tabah dan kita akan berusaha membantu sedaya yang boleh bagi meringankan beban keluarga terlibat.
“Kita juga berharap akan lebih banyak pihak turut tampil membantu keperluan mereka yang dilanda musibah kebakaran ini,”katanya.
Andi turut menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan padat agar lebih berwaspada ketika fenomena El-Nino ketika ini yang dijangka berlanjutan sehingga hujung April depan. Elakkan punca api yang mungkin boleh mengakibatkan kebakaran seperti melakukan pembakaran terbuka dan sebagainya,” katanya.
Pada Rabu lepas, 52 rumah musnah dalam kebakaran di penempatan atas air Kg Tanjung Batu Laut Logpond sekitar jam 2.30 petang, yang mengakibatkan 264 mangsa hilang tempat tinggal.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

