RM251 juta lesap akibat sindiket kerja sambilan ‘like and share’: JSJK

LocalBusiness & Finance
7 Apr 2026 • 12:01 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR — Kerja sambilan yang kelihatan mudah seperti menekan butang like, share atau membeli barangan dalam talian kini dikenal pasti sebagai taktik penipuan berskala besar, memperdaya ribuan rakyat yang mencari pendapatan tambahan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata kegiatan itu dikesan hasil risikan dan maklumat yang dikumpul sepanjang 15 bulan, dari Januari 2025 hingga 15 Mac lalu.

“Penipuan pekerjaan lazimnya melibatkan tawaran kerja sambilan, namun mangsa akan diminta membuat bayaran pendahuluan atau top-up kononnya untuk mendapat komisen sebelum akhirnya diperdaya tanpa menerima sebarang pulangan.

Sindiket ini menggunakan pelbagai platform media sosial dan aplikasi pesanan untuk memperdaya mangsa dan polis memandang serius kegiatan ini serta akan mengambil tindakan tegas terhadap individu atau kumpulan yang terlibat,” katanya lapor Bernama.

Sepanjang tempoh itu, sebanyak 10,304 kes direkodkan dengan kerugian mencecah RM251.2 juta. Selangor mencatat jumlah tertinggi iaitu 2,684 kes dengan kerugian RM80.18 juta, diikuti Kuala Lumpur (1,170 kes, RM36.47 juta) dan Johor (1,443 kes, RM27.31 juta).

Dari segi demografi, Rusdi menjelaskan golongan berusia 21 hingga 30 tahun paling ramai menjadi mangsa pada 2025 dengan 3,006 orang, diikuti 31 hingga 40 tahun (2,665), 41 hingga 50 tahun (1,489), 15 hingga 20 tahun (711), 51 hingga 60 tahun (700) dan 61 tahun ke atas (357).

Bagi tempoh 1 Januari hingga 15 Mac 2026, kumpulan umur 31 hingga 40 tahun mencatat jumlah tertinggi iaitu 435 mangsa.

Beliau turut menekankan bahawa wanita kekal sebagai mangsa paling ramai — 6,734 orang pada 2025 berbanding 2,194 lelaki. Dalam tempoh awal 2026, sebanyak 930 wanita direkodkan berbanding 446 lelaki. Pekerja sektor swasta dikenal pasti sebagai kumpulan paling terjerat dengan 4,951 mangsa, diikuti golongan tidak bekerja (2,523) dan pelajar (864).

“Penjawat awam turut merekodkan 717 mangsa diikuti pesara (320 orang), ahli perniagaan (370), guru (245), kerani swasta (244), kerani kerajaan (62) serta sektor keselamatan mencatat lapan mangsa. Trend ini menunjukkan sindiket menyasarkan golongan aktif bekerja, khususnya sektor swasta dengan tawaran kerja dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat,” katanya.

Rusdi menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terperdaya dengan tawaran pekerjaan dalam talian yang mencurigakan, terutama yang memerlukan bayaran pendahuluan atau pelaburan awal. - 7 April, 2026

The post RM251 juta lesap akibat sindiket kerja sambilan ‘like and share’: JSJK appeared first on Scoop.

View Original Article