RM260 juta tingkat bekalan elektrik di Sabah, Labuan

LocalBusiness & Finance
15 Jul 2025 • 5:36 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Jonathan Nicholas

Kota Kinabalu: Lebih 60,000 pengguna di Sabah dan Labuan bakal menikmati bekalan elektrik yang lebih baik dengan pelaksanaan tujuh projek tenaga bernilai RM260.7 juta.

Projek-projek tersebut melibatkan kerja naik taraf pencawang, peluasan grid dan peningkatan sistem pemantauan yang merangkumi kawasan utama termasuk Tanjung Aru, Ranau, Batu Sapi dan Labuan.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, secara rasmi menyerahkan projek-projek itu semasa lawatannya ke Pencawang Masuk Utama Kota Kinabalu (PMU KKBU), pada Isnin.

window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Pencawang berkenaan merupakan antara inisiatif penting di bawah Pasukan Petugas Khas Bekalan Elektrik Sabah (PPKBES).

“Projek-projek ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan sistem bekalan elektrik yang boleh dipercayai, moden dan mampan untuk rakyat Sabah dan Labuan.

“Ia juga mengukuhkan grid nasional dan menyokong usaha peralihan tenaga negara di bawah visi Malaysia Madani.

“Naik taraf PMU KKBU melibatkan penggantian sistem 66/11kV yang usang kepada sistem suis bertebat gas 132/33/11kV. Fasiliti ini kini memberi manfaat kepada kira-kira 11,452 pengguna di Kota Kinabalu dan meningkatkan kebolehpercayaan bekalan elektrik ke kawasan penting termasuk lapangan terbang antarabangsa,” katanya.

Fadillah berkata, satu projek bernilai RM34.92 juta yang menghubungkan Beaufort ke sempadan Sabah-Sarawak akan membolehkan import sehingga 30MW tenaga dari Sarawak ke Sipitang sebaik sahaja bahagian Sarawak Energy siap menjelang September ini.

“Grid ini direka untuk mengendalikan sehingga 500MW bagi menyokong Grid Tenaga Asean (APG) ke arah perkongsian tenaga rentas sempadan secara mampan.

“Di Ranau, sebuah pencawang bernilai RM31.3 juta telah mengurangkan kebergantungan kepada tenaga diesel, memberi manfaat kepada 15,620 pengguna,” tambahnya.

Batu Sapi pula menerima pencawang baharu bernilai RM30 juta yang mula beroperasi pada Disember 2024, sekali gus meningkatkan bekalan kepada 4,744 pengguna di Sandakan dan kawasan sekitar.

Sebuah lagi projek bernilai RM50 juta di Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah meningkatkan kapasiti beban daripada 93.5MW kepada 131.6MW, mengurangkan gangguan dan menyokong pembangunan berdekatan termasuk Hospital UMS yang baharu.

Sementara itu, sistem pemantauan perlindungan bernilai RM42 juta yang siap pada Februari 2024 melibatkan pemasangan 15km kabel gentian optik dasar laut antara Menumbok dan Labuan yang meningkatkan aspek keselamatan dan kebolehpercayaan.

Labuan turut menyaksikan projek naik taraf bernilai RM6.3 juta bagi meningkatkan keupayaan menyokong pembangunan baharu.

“Projek-projek ini merupakan langkah penting dalam menangani jurang infrastruktur yang berpanjangan di Sabah dan Labuan serta bakal meningkatkan mutu perkhidmatan dan daya tahan sistem bekalan secara menyeluruh,” kata Fadillah.

Delegasi beliau dijadual melawat Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) selepas itu, di mana Malaysia Airports sedang melaksanakan projek solar bumbung di bawah skim Penggunaan Sendiri (SelCo).

Projek berkapasiti 4MW yang diluluskan pada 2022 itu membolehkan pemasangan panel solar di bumbung bangunan terminal untuk kegunaan tenaga dalaman, sejajar dengan usaha kerajaan ke arah tenaga yang lebih hijau dan mampan.