RM3.2 juta diperuntuk naik taraf infrastruktur 11 kampung baru di Gombak

27 Jul 2023 • 4:16 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

OLEH JULIANA JOHAR

SUNGAI BULOH, 27 JULAI: Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM3.2 juta untuk kerja menaik taraf infrastuktur 11 kampung baru di daerah Gombak membabitkan 16 projek secara keseluruhannya.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata jumlah itu merangkumi pelbagai projek penambahbaikan seperti penurapan jalan, naik taraf tebing sungai, gelanggang bola keranjang serta pemasangan lampu jalan.

“Kampung Desa Aman merupakan salah satu dari kampung terlibat yang akan dinaik taraf tebing sungai, melibatkan kos RM500,000.

image is not available
Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi DUN Bukit Lanjan Phua Pei Lei ketika ditemui di Kampung Desa Aman Sungai Buloh pada 27 Julai 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI

“Kerja-kerja akan dimulakan sebaik Jabatan Pengairan Selangor melantik kontraktor dan ia dijangka siap akhir tahun ini,” katanya kepada Selangorkini ketika meninjau tebing sungai Kampung Desa Aman di sini hari ini.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Perkampungan Daerah Gombak yang juga calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lanjan Phua Pei Lei pula berkata permasalahan tebing sungai yang menjadi kebimbangan penduduk sekitar akhirnya dapat diselesaikan dengan peruntukan yang disediakan.

“Permasalahan tebing sungai runtuh yang menjadi kebimbangan penduduk di sini ketika musim hujan lebat akhirnya berjaya diselesaikan.

“Bukan itu sahaja, malah kerja-kerja menaik taraf gelanggang bola keranjang di kampung ini juga termasuk dalam agenda projek,” katanya.

Penduduk, Rajindran D. Riudayam, 67, yang sudah lebih 40 tahun menetap di Kampung Desa Aman mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan Kerajaan Negeri yang sentiasa mendengar permasalahan rakyat.

“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih di atas kerja-kerja menaik taraf tebing sungai ini kerana saya tinggal berdekatan dan kalau hujan lebat, memang air akan naik sehingga ke kawasan pekarangan rumah.

“Terima kasih di atas keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap aduan rakyat,” katanya.