
TAWAU: Hampir RM4 juta peruntukan digunakan bagi pelaksanaan pemasangan lampu solar dan pembinaan Dewan Anak Merotai.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata kini hampir 70 peratus lampu solar LED sudah dipasang dan berfungsi di sepanjang jalan Merotai iaitu dari persimpangan Jambatan Putih sehingga ke Kampung Sungai Udin.
“Projek ini menelan peruntukan RM1.9 juta menyaksikan lebih separuh jalan utama Merotai kini terang pada waktu malam.
“Ini adalah hasil inisiatif kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan peranan parti-parti komponen yang ada bagi membantu kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Merotai ini terang sekali gus dapat meningkatkan tahap keselamatan sama ada di jalan raya mahupun di kawasan kediaman penduduk khususnya pada waktu malam,”katanya. Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Dewan Anak Merotai di Merotai Point pada Isnin.
Teks ucapan beliau disampaikan Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk James Ratib.
Dalam pada itu Hajiji menyatakan Merotai turut mencatat satu lagi sejarah pembinaan infrastruktur baharu iaitu Dewan Anak Merotai bernilai RM2 juta yang dilancarkan pada program sama.
Menurutnya peruntukan kedua-dua projek itu diumumkan beliau selepas mengambil kira kepentingan dan keperluan pendudukan Merotai yang disuarakan Tan Sri Liew Yun Fah ketika sambutan Perayaan Tahun Baharu Cina anjuran Parti Harapan Rakyat Sabah pada Februari lalu.
Hajiji berkata dewan tertutup berhawa dingin itu bakal menjadi satu pusat aktiviti baharu kepada masyarakat setempat dan menjadi nadi kepada aktiviti sosial, ekonomi dan kebudayaan di Merotai.
Beliau berharap dewan itu juga mampu digunakan sebagai pusat pertemuan masyarakat, tempat berlangsungnya program keagamaan, latihan belia, bengkel kemahiran dan pelbagai lagi aktiviti yang dapat menyemai semangat perpaduan serta kekitaan dalam kalangan rakyat.
Beliau yakin dengan ruang yang lebih selesa dan selamat membolehkan dewan itu sesuai digunakan sepanjang tahun tanpa bergantung kepada keadaan cuaca.
