RM40.5 juta projek tebatan banjir Petaling Jaya

23 Jul 2026 • 6:39 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: RM40.5 juta projek tebatan banjir Petaling Jaya

SHAH ALAM – Sebanyak 39 projek tebatan banjir melibatkan peruntukan RM40.5 juta akan dilaksanakan segera bagi mengatasi masalah banjir kilat di 12 lokasi dikenal pasti di sekitar Petaling Jaya.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, projek berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat bagi menangani isu banjir untuk jangka pendek, sederhana dan panjang.

Katanya, daripada 12 kawasan itu, tiga lokasi dikenal pasti sebagai paling kritikal iaitu Seksyen 51A, Kampung Cempaka dan terowong FAS berhampiran Taman Megah Emas.

“Sebanyak 39 projek akan dilaksanakan dengan peruntukan RM40.5 juta. Projek ini akan dikendalikan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) serta agensi teknikal berkaitan.

“Pelaksanaan projek ini bertujuan mengurangkan risiko banjir secara menyeluruh, namun ia memerlukan sedikit masa kerana membabitkan proses reka bentuk, pengambilan tanah serta penyelarasan utiliti sebelum kerja fizikal dapat dimulakan,” katanya pada sidang akhbar perkembangan pelan mitigasi banjir MBPJ di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), hari ini.

Menurut beliau, bagi Seksyen 51A sahaja, sebanyak lapan projek bernilai RM8.15 juta akan dilaksanakan oleh JPS dan MBPJ, termasuk pembinaan parit monsun, pemasangan flap gate serta kolam takungan sementara yang dijangka siap sebelum akhir tahun ini.

Katanya, langkah mitigasi jangka sederhana pula melibatkan kerja pengerukan kolam, pemasangan pam dan menaik taraf sistem saliran dengan kos RM4 juta yang disasarkan siap tahun depan.

“Kita tidak boleh anggap hari ini mesyuarat dan lulus, esok terus boleh buat. Projek tebatan banjir bukan macam masak mi segera sebab ia memerlukan kajian dan reka bentuk sebelum dilaksanakan,” tegasnya.

Dalam perkembangan sama, Izham berkata, sebuah kolam takungan air bernilai RM4.55 juta akan dibina di kawasan parkir Medan Selera 223, Jalan 51A/23 bagi mengurangkan risiko banjir kilat di kawasan tersebut.

“Kolam itu dijangka mampu menampung 3,200 meter padu air dalam satu-satu masa dengan kerja membina kolam berkenaan akan dilakukan secepat mungkin,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

The post RM40.5 juta projek tebatan banjir Petaling Jaya appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved