Seramai 31,850 pelajar baharu universiti awam dan politeknik sesi Julai 2025 menerima manfaat Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) sebanyak RM1,500 setiap seorang daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Inisiatif melibatkan peruntukan keseluruhan RM47.8 juta itu bertujuan membantu pelajar menampung perbelanjaan awal kemasukan ke institusi pengajian tinggi, selaras komitmen PTPTN memastikan akses pendidikan tinggi terus terbuka kepada semua golongan.
PTPTN salur WPP kepada lebih 31,000 pelajar baharu
Menurut Pengerusi PTPTN, Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, bantuan ini bukan sekadar untuk masuk universiti, tetapi membuka ruang masa depan yang lebih baik melalui pendidikan.
“PTPTN sentiasa komited memastikan pendidikan tinggi dapat dinikmati semua, tanpa mengira latar belakang sosioekonomi,” katanya.
YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN (dua dari kanan) menyerahkan replika kad Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) berjumlah RM1,500 kepada salah sorang pelajar.
Untuk Pulau Pinang sahaja, seramai 1,419 pelajar menerima manfaat dengan jumlah agihan bernilai RM2.13 juta, manakala 87 pelajar di kawasan Bukit Gelugor turut menerima RM130,500 secara keseluruhan.
Beliau turut menyerahkan sendiri surat tawaran WPP kepada pelajar terpilih dalam sesi ziarah di Bukit Gelugor bersama pengurusan kanan PTPTN.
“WPP ini perlu digunakan sebaik mungkin. Tunjukkan rasa syukur dan belajar bersungguh-sungguh hingga menjadi modal insan negara,” ujarnya.
Penerima WPP bergambar bersama YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN (tiga dari kiri) ketika sesi ziarah di rumah pelajar.