RM48.8 bilion adalah kos program, bukan kerugian – Wan Suraya

LocalPolitics
22 Jul 2025 • 2:37 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

image is not available

KUALA LUMPUR – Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi menegaskan bahawa nilai RM48.873 bilion yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 bukanlah jumlah ketirisan atau kerugian negara seperti yang disalah lapor oleh beberapa portal berita, sebaliknya ia adalah nilai kos keseluruhan program, aktiviti dan projek yang diaudit oleh Jabatan Audit Negara (JAN).

Beliau berkata, laporan tidak tepat sebegini boleh menimbulkan kekeliruan dan memberi persepsi negatif terhadap pengurusan kewangan negara.

“Secara umumnya, LKAN 2/2025 mengenai aktiviti kementerian, jabatan, badan berkanun dan syarikat kerajaan Persekutuan mengandungi perkara yang dibangkitkan hasil pengauditan terhadap lima program, aktiviti dan projek di tujuh kementerian dengan nilai kos keseluruhan sebanyak RM48.873 bilion,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Wan Suraya menjelaskan bahawa skop pengauditan juga merangkumi prestasi pelaksanaan dari tahun-tahun terdahulu termasuk isu-isu legasi serta inisiatif baru yang telah diperkenalkan kerajaan.

Setiap penemuan yang dibentangkan dalam laporan tersebut disusuli dengan syor penambahbaikan yang konstruktif bagi membantu kementerian, jabatan dan agensi kerajaan meningkatkan kecekapan operasi serta memperkukuh sistem dalaman dan pematuhan.

Dalam tempoh 2024 hingga Jun 2025, audit yang dijalankan oleh JAN berjaya membantu kerajaan memperoleh bayaran balik sebanyak RM157.73 juta menerusi tuntutan penalti, sewa tertunggak, kutipan Liquidated Ascertained Damages (LAD), tunggakan pajakan tanah serta kutipan duti dan cukai.

“Sebanyak 44 isu yang telah dilaporkan dalam LKAN 2/2025 turut dimuat naik ke Papan Pemuka Dalam Talian Ketua Audit Negara (AGD) untuk disusuli oleh kementerian dan jabatan berkaitan bermula Isnin lepas,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa isu-isu yang sama akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Susulan LKAN (JSLKAN) dan Jawatankuasa Tindakan Ketakteraturan Serius (JTKS) yang dipengerusikan bersama oleh Ketua Audit Negara dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

“Jabatan Audit Negara ingin menasihatkan orang ramai agar mendapatkan gambaran yang berfakta, tepat dan menyeluruh melalui laman sesawang rasmi www.audit.gov.my,” tambahnya.

LKAN 2/2025 telah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan akan dibahaskan pada Rabu ini.