RM5.138 bilion biayai operasi, pengurusan Kerajaan

26 Nov 2022 • 3:19 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Bagi tujuan membiayai operasi dan pengurusan Kerajaan, sejumlah RM5.138 bilion dicadangkan bagi 2023 yang melibatkan peningkatan RM541.23 juta atau 11.77 peratus berbanding anggaran asal 2022 sebanyak RM4.597 bilion, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Hajiji berkata, jumlah anggaran itu diagihkan sewajarnya bagi pembayaran emolumen, perbelanjaan berulang dan Perbelanjaan khas.

“Daripada jumlah Belanjawan Perbekalan 2023, sejumlah RM792.28 juta atau 15.4 peratus dicadangkan untuk Emolumen,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri di Dewan Undangan Negeri, di Kota Kinabalu, Jumaat.

“Sementara itu, sejumlah RM1.977 bilion atau 38.5 peratus dicadangkan untuk perbelanjaan berulang bagi menampung keperluan bekalan air dan perkhidmatan pembetungan; program khidmat sosial, geran untuk bantuan am, anak yatim dan fakir miskin; bantuan pendidikan khas; pembangunan program masjid, surau dan sekolah agama; serta program pengurusan banjir, pengairan dan perparitan.”

Sebaliknya, kata Hajiji, sejumlah RM2.369 bilion atau bersamaan 46.1 peratus dicadangkan untuk perbelanjaan khas.

“Peruntukan perbelanjaan khas untuk 2023 menggambarkan keprihatinan dan kesungguhan Kerajaan dalam memberikan keselesaan kepada rakyat yang melibatkan peningkatan peruntukan untuk penyelenggaraan infrastruktur; bantuan khas kepada nelayan, petani dan penternak; geran untuk sekolah dan badan agama bukan Islam; dan juga pemberian untuk badan berkanun, agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan merancakkan program pembangunan, beliau berkata, sejumlah RM788.94 juta dicadangkan untuk perbelanjaan pembangunan 2023.

“Walaupun Bajet Negara belum dibahas dan diluluskan, Kerajaan Negeri dikehendaki mengunjurkan anggaran RM604.67 juta bagi memastikan kesinambungan pelaksanaan projek semasa yang dibiayai Kerajaan Persekutuan bagi 2023.

“Selaras dengan tema Belanjawan Negeri, sektor ekonomi kekal sebagai penerima terbesar peruntukan pembangunan iaitu berjumlah RM515.81 juta atau bersamaan 65.3 peratus.

“Ini diikuti oleh sektor sosial berjumlah RM254.93 juta atau 32.4 peratus serta sektor pentadbiran am berjumlah RM18.2 juta iaitu bersamaan 2.3 peratus daripada jumlah peruntukan pembangunan bagi 2023,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.