
TAWAU: Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM5.45 juta kepada sekolah dan badan keagamaan bukan Islam bagi Zon Pantai Timur pada tahun ini.
Sebanyak 83 penerima melibatkan 110 kelulusan menerima bantuan kewangan itu, terdiri daripada 43 sekolah (RM3.03 juta), 36 gereja (RM1.18 juta), 27 tokong (RM1.03 juta) dan empat kuil (RM190,000) di Lahad Datu, Tungku, Kunak, Semporna, Tawau dan Kalabakan.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan hadir menyampaikan surat kelulusan bantuan kewangan tersebut di Dewan SJKC Kung Ming, di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Adun Balung Datuk Hamild Awang dan Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan yang juga Adun Kukusan, Rina Jainal.
Nizam berkata, penyampaian bantuan tersebut jelas menunjukkan Sabah sentiasa prihatin dan menekankan dasar keadilan dan kesaksamaan dalam semua aspek untuk membantu rakyatnya tanpa mengira kaum dan agama.
Katanya, dalam belanjawan 2023, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM54.05 juta dengan agihan RM23 juta kepada sekolah-sekolah dan RM31.05 juta untuk badan-badan keagamaan bukan Islam.
Sebanyak 810 kelulusan diberikan iaitu 346 untuk sekolah, manakala badan keagamaan adalah 464 kelulusan.
“Jika dibandingkan dengan kelulusan tahun lepas iaitu sebanyak 1,516, terdapat penambahan sebanyak 294 kelulusan pada tahun ini,” katanya.
Beliau berharap bantuan kewangan ini akan memberi keselesaan dan manfaat serta memupuk semangat persaudaraan dalam kalangan masyarakat di Sabah.
Katanya, bantuan tersebut merupakan antara usaha Kerajaan Negeri untuk meringankan beban pihak sekolah dan badan-badan keagamaan dalam usaha memperbaiki dan membangun sekolah serta rumah ibadat agar kondusif dan selamat digunakan.
Dalam pada itu, Nizam yang juga Adun Apas memaklumkan permohonan bantuan kewangan tahun 2024 akan dibuka mulai 2 Januari hingga 31 Mac 2024.
“Sekiranya kedudukan kewangan negeri bertambah baik, kerajaan akan meningkatkan amaun bantuan tersebut.”
Dalam masa yang sama, beliau berharap sektor swasta, dewan perniagaan atau persatuan perdagangan agar turut serta menyahut seruan Kerajaan Negeri untuk bersama-sama mendukung institusi sekolah dan badan-badan keagamaan di Sabah.
Mengulas lanjut, beliau berkata, majlis tahunan Kementerian Kewangan Sabah itu begitu bermakna dan amat relevan memandangkan institusi pendidikan seperti sekolah amat penting dalam melahirkan modal insan berilmu dan berpengetahuan.
Badan-badan keagamaan pula memainkan peranan penting dalam memupuk nilai-nilai murni dan toleransi dalam kalangan masyarkaat Sabah yang terdiri daripada pelbagai kaum, suku etnik serta agama.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
