
SEBERANG PERAI – Kerajaan menyediakan dana permulaan RM5 juta bagi melaksanakan Strategi Semikonduktor Bumiputera sebagai langkah memperluas penyertaan syarikat dalam industri teknologi tinggi negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Untuk memulakan ini, saya pastikan supaya kita ada dana awal untuk peluncuran.
“Kita sediakan sebagai persiapan awal untuk perkukuhkan kegiatan dan kerangka kerjasama ini. Saya sediakan dana RM5 juta untuk semikonduktor Bumiputera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Ekspo Halal Antarabangsa Pulau Pinang (PIHEX) dan Himpunan Usahawan Bumiputera Pulau Pinang (HUBPP) di Politeknik Seberang Perai (PSP) di sini, hari ini.
Menurut Anwar, usaha memperkukuh penyertaan ekonomi Bumiputera di Pulau Pinang perlu disandarkan kepada fakta dan rekod sebenar, bukannya persepsi semata-mata.
Beliau berkata, persepsi bahawa Bumiputera di Pulau Pinang ketinggalan dalam pembangunan ekonomi perlu diperbetulkan kerana prestasi penyertaan ekonomi Bumiputera di negeri itu menunjukkan pencapaian yang lebih baik berbanding kebanyakan negeri majoriti Melayu di Semenanjung.
“Pulau Pinang ini dapat persepsi dan gambaran lemah dari segi penyertaan Muslim dan Bumiputera.
“Tapi rekod dan faktanya menunjukkan prestasi Bumiputera di Pulau Pinang secara keseluruhannya itu lebih baik daripada kebanyakan negeri-negeri Melayu di Semenanjung,” katanya.
Beliau berkata, strategi memperkukuh ekonomi Bumiputera itu bukan bertujuan menggantikan syarikat sedia ada, sebaliknya membantu syarikat Bumiputera muncul sebagai sebahagian daripada rantaian bekalan industri semikonduktor negara.
“Bukan untuk menggantikan syarikat yang sedia ada, tetapi kita mahu membolehkan syarikat Bumiputera bertapak sebagai sebahagian daripada rantaian bekalan industri semikonduktor,” katanya. -KOSMO! ONLINE
The post RM5 juta perkasa syarikat Bumiputera rantaian semikonduktor appeared first on Kosmo Digital.





