RM5 juta untuk pembaikan Tabika Perpaduan

LocalFamily & Parenting
20 Mar 2025 • 10:00 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Lagatah Toyos

TAWAU: Sebanyak 34 daripada 142 Tabika Perpaduan di Sabah memerlukan kerja pembaikan dalam usaha menyediakan suasana pembelajaran kondusif untuk pendidikan awal kanak-kanak di negeri ini.

Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Perpaduan Negara (KPN), Datuk Ruji Ubi berkata, berdasarkan anggaran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Sabah, lebih RM2 juta diperlukan untuk tujuan tersebut.

Menurutnya, KPN menerima peruntukan siling RM10 juta untuk tujuan pembaikan Tabika Perpaduan di seluruh negara dalam Belanjawan 2025, namun aliran tunai bagi projek-projek terbabit hanya RM5 juta untuk tahun ini.

“Bagi RM5 juta ini, saya telah meminta agar peruntukan disalurkan segera bagi membaiki tabika yang paling memerlukan terlebih dahulu. Jika terdapat keperluan tambahan, saya akan memohon peruntukan tambahan.

“Kerja-kerja pembaikan ini antaranya melibatkan kebocoran siling, sistem perpaipan, kelengkapan kerusi dan meja, serta pemasangan sistem penghawa dingin jika perlu bagi tabika yang keadaannya persekitarannya agak panas,” katanya.

Beliau yang dalam siri lawatan kerjanya ke Tawau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Muhibbah Ramadan 2025 di Dewan Terbuka Taman Semarak Jaya, di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Sabah, Esther Dingkawan.

Sementara itu, Ruji menekankan kepentingan penguasaan asas 3M (membaca, menulis, dan mengira) dalam kalangan murid Tabika Perpaduan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan apabila memasuki Tahun Satu.

“Tahun lalu, Kementerian Pendidikan mengenal pasti kira-kira 122,000 murid Tahun Satu yang tidak mahir dalam 3M. Saya akan turun padang untuk meninjau kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP), selain menilai tahap kompetensi guru Tabika Perpaduan serta kelengkapan PdP yang diperlukan,” katanya.

Dalam program itu, Ruji menyampaikan Bakul Rahmah RTCares kepada 30 penerima selain meninjau penyediaan 700 pek bubur lambuk serta kacang.

Beliau kemudian mengetuai kunjungan muhibah Program Jejak Harmoni 2025 ke empat rumah ibadat di Tawau dengan pengagihan bubur dan penyerahan Tiffin Harmoni.

Beliau turut menyampaikan sumbangan serupa kepada 50 asnaf di sekitar Kg Kuala Merotai dalam program Ziarah Rahmah Perpaduan 2025.