RM54.05 juta untuk sekolah, badan agama bukan Islam: Hajiji 

6 Jan 2023 • 2:16 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah memperuntukkan geran berjumlah RM54.05 juta kepada sekolah dan badan keagamaan bukan Islam dalam belanjawan negeri itu tahun ini yang mencatatkan peningkatan sebanyak RM7.05 juta berbanding peruntukan tahun lepas.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata perkara ini menunjukkan bahawa kerajaan Sabah amat peka terhadap keperluan rakyat dan membantu mereka tanpa mengira kaum dan agama.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah pada majlis penyampaian kepala singa sempena Tahun Baharu Cina kepada pelbagai persatuan dan tokong di negeri ini, di sini pada Khamis.

Tahun ini, kerajaan Sabah menyerahkan kepala singa bernilai RM1.5 juta yang akan diagihkan melalui kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri masing-masing.

Hajiji berkata penyampaian kepala singa kepada masyarakat Cina Sabah sempena sambutan perayaan itu menunjukkan komitmen kerajaan negeri untuk terus menyokong dan membantu masyarakat berbilang kaum.

“Kerajaan negeri akan sentiasa membantu rakyat semua kaum dan agama bagi memastikan mereka dapat meraikan perayaan masing-masing,” katanya dan menambah kerajaan Sabah komited kepada dasar kesaksamaan dan keadilan dalam semua aspek.

Hajiji juga berharap bantuan itu akan menyemarakkan lagi sambutan Tahun Baharu Cina dan pada masa sama terus memupuk semangat setiakawan dan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa dan agama di negeri ini.

“Bersempena dengan Tahun Baharu, saya menyeru rakyat di negeri ini termasuk masyarakat Cina untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi membangunkan negeri dan memastikan Sabah akan terus berkembang dan maju ke hadapan,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.