
IPOH: Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merekodkan jumlah rampasan bernilai RM6,216,457.37 melalui Op Tiris yang dijalankan sepanjang tahun lepas.
Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalluddin Ismail berkata daripada jumlah berkenaan, 90 peratus daripadanya melibatkan hasil 56 kes rampasan minyak diesel iaitu sebanyak RM5,584,687.46 membabitkan 275,406 liter termasuk kenderaan dan peralatan lain.
“Op Tiris 1.0 telah dilaksanakan oleh KPDN bermula 1 Mac hingga 31 Ogos tahun lepas dan dilanjutkan hingga 31 Dis melalui Op Tiris 2.0 yang ditambah baik dengan memperluas tindakan rintis risikan ketirisan subsidi lain seperti minyak masak, beras dan gula,“ katanya pada sidang media program Pelupusan Ekshibit Perdana KPDN Perak di sini hari ini.
Pada program itu, ekshibit atau barang kes bernilai lebih RM600,000 melibatkan barangan seperti pam minyak, hos, tangki IBC, kenderaan, makanan biskut, pelekat jenama dan kasut sukan dilupuskan.
Kamalludin berkata jumlah nilai pelupusan terkumpul sepanjang tahun lepas ialah RM1.5 juta iaitu meningkat sebanyak 29.6 peratus berbanding RM1.2 juta yang direkodkan pada 2022.
“Jumlah nilai rampasan bagi 2023 meningkat 203 peratus berbanding tahun sebelumnya selain peningkatan turut direkodkan terhadap nilai kompaun iaitu sebanyak 59 peratus bagi tempoh sama,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata Op Tiris 3.0 pada tahun ini bersifat lebih menyeluruh serta besar-besaran bagi menangani ketirisan dan penyelewengan lebih-lebih lagi apabila kerajaan mengumumkan pelaksanaan sasaran semula subsidi barang kawalan.
Kamalludin berkata setakat 1 hingga 12 Jan lepas, rampasan bernilai RM1.9 juta berjaya dilakukan hasil daripada 34 kes melibatkan aktiviti penyelewengan barang kawalan diesel, gas petroleum cecair (LPG).
“Kesemua kesalahan dan penyelewengan yang direkodkan itu disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. -Bernama
