RM6.72 juta jadi milik JDT

LocalFootball
19 Apr 2026 • 7:10 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
JDT berjaya mencatat sejarah mara sehingga saingan suku akhir ACLE. Foto JDT

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) mengaut habuan AS$1.7 juta (RM6.72 juta) meskipun tersingkir di pusingan suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium King Abdullah Sports City, Jeddah pada Jumaat, Harimau Selatan terpaksa akur dengan kekalahan tipis 1-2 kepada juara bertahan dari Arab Saudi, Al-Ahli.

Bagaimanapun, kekecewaan itu sedikit terubat apabila mengambil kira jumlah keseluruhan wang tunai yang berjaya dibawa pulang sejak saingan peringkat kumpulan bermula.

Berdasarkan pecahan hadiah kemenangan, JDT telah menerima AS$800,000 sebagai yuran penyertaan awal.

Selain itu, tiga kemenangan yang dicatatkan di peringkat liga membolehkan Harimau Selatan menambah koleksi pendapatan sebanyak AS$300,000.

Kejayaan cemerlang melangkah ke pusingan 16 terakhir pula menyaksikan JDT dibayar AS$200,000 manakala bonus tambahan sebanyak AS$400,000 diberikan sebaik sahaja mereka mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir.

Biarpun gagal melangkah lebih jauh ke separuh akhir, persembahan yang dipamerkan oleh Harimau Selatan di pentas elit itu mendapat pujian ramai peminat bola sepak.

Pencapaian tersebut sekali gus membuktikan kelab dari selatan tanah air itu kini mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan gergasi-gergasi besar Asia yang lain.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved