KUALA LUMPUR – Pegawai AmBank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu bahawa, terdapat kemasukan wang berjumlah RM6 juta dalam akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) secara berperingkat.
Nor Paizah Osman yang ketika itu Penolong Pengurus AmBank (M) Berhad, Cawangan Amcorp Mall berkata demikian dalam perbicaraan empat kes salah guna kedudukan untuk suapan berjumlah RM225.3 juta dan tiga pengubahan wang haram (AMLA) sebanyak RM200 juta dihadapi Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Saksi pendakwaan ketiga (SP3) berusia 45 tahun itu berkata, sebanyak 10 transaksi kemasukan wang direkodkan dalam akaun berkenaan bagi tempoh 21 Februari hingga 17 November 2022.
“Semua kemasukan wang menggunakan cek dengan nilai tertinggi ialah RM1 juta sementara RM500,000 jumlah terendah,” katanya yang kini bertugas sebagai Penolong Pegawai AmBank cawangan OUG.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Noralis Mat, saksi ini berkata, semasa kemasukan wang berkenaan sepanjang Februari hingga November 2022, Presiden Bersatu ketika itu dijawat oleh Muhyiddin.
Menurutnya, sehingga penyata akaun bank parti itu dikeluarkan, tidak berlaku sebarang pertukaran Presiden Bersatu dilaporkan.
Katanya, ia berdasarkan mandat minit Bersatu yang dihantar kepada AmBank setiap tahun.
Semasa pemeriksaan balas oleh peguam, Datuk Amer Hamzah Arshad, saksi tersebut berkata beliau tidak pernah menerima pertanyaan daripada Pendaftar Pertubuhan mengenai status kewangan Bersatu.
Amer Hamzah yang mewakili bekas Perdana Menteri kemudian mencadangkan semua transaksi membabitkan cek tersebut, tidak menunjukkan sebarang masalah.
Nor Paizah: Tiada masalah.
Peguam: Jadi semuanya nampak betul?
Nor Paizah: Ya.
Peguam: Ia juga transaksi perbankan biasa?
Nor Paizah: Betul.
Peguam: Transaksi itu tidak pernah menerima ‘inquiry’ dari Bank Negara?
Nor Paizah: Saya tak ingat.
Beliau berkata, sebarang pembukaan akaun dan transaksi secara telus dan direkodkan dalam sistem bank.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin menyoal saksi wanita berkenaan berhubung kenyataannya bahawa akaun bank milik Bersatu itu tidak mempunyai sebarang masalah.
Pendakwaan: Puan ada jawab soalan peguam, bahawa dalam kes ini, akaun berkenaan tidak ada masalah atau syak wasangka.
Nor Paizah: Benar.
Pendakwaan: Apa yang puan faham mengenai isu yang diajukan peguam?
Nor Paizah: Tiada apa-apa siasatan daripada Bank Negara, kita tiada terima isu untuk hentikannya.
Saksi berkenaan berkata, tujuan cek dimasukkan merupakan di luar pengetahuannya.
Menurutnya, bank juga tidak mengetahui tujuan wang dimasukkan atau bertanya mengenai perkara tersebut.
“Pihak bank hanya akan menerima cek dan memprosesnya,” katanya.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama hingga keempat, Ahli Parlimen Pagoh ini didakwa sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu, telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM225.3 juta.
Wang itu didakwa daripada seorang individu iaitu Azman Yusoff dan tiga syarikat, Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd serta Mamfor Sdn Bhd, bagi sekutu parti itu.
Bagi pertuduhan kelima hingga ketujuh, Muhyiddin selaku Presiden parti itu, didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM200 juta antaranya daripada Bukhary Equity, yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.
Perbicaraan di hadapan Hakim, Noor Ruwena Md Nurdin bersambung 13 April depan.
