
KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menghargai komitmen serta kesungguhan Kerajaan Perpaduan dalam menangani isu berbangkit berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menerusi Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).
Presidennya Datuk Ewon Benedick berkata kesungguhan itu dibuktikan menerusi beberapa inisiatif baharu dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan isu berkenaan termasuk pelonggaran peraturan perolehan dan penyerahan kuasa kawal selia gas kepada kerajaan Sabah.
“Komitmen itu juga dapat dilihat melalui penyerahan kuasa kawal selia elektrik kepada kerajaan Sabah yang dijangka dapat dimuktamadkan menjelang Januari tahun depan. Ini akan membolehkan Sabah mengawal selia bekalan gas dan elektrik berdasarkan kepentingan negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan usul KSP RMK12 bertemakan ‘Malaysia MADANI: Mampan, Sejahtera, Berpendapatan Tinggi’ pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat berkata pembangunan wilayah Sabah dan Sarawak akan terus diberi tumpuan.
Selain penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas dan elektrik kepada Sabah, kerajaan Persekutuan juga akan membina projek sistem tenaga boleh diperbaharui dan naik taraf grid bekalan kuasa di Gugusan Felda Sahabat, Lahad Datu, bernilai RM195 juta dan projek pembinaan semula bangunan sekolah daif di negeri itu.
Sebuah pusat darah wilayah juga akan dibina di Sabah, manakala Makmal Kesihatan Awam dan Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan akan dibina di Kuching, Sarawak bagi meningkatkan kemudahan kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih saksama.
Sabah dan Sarawak juga akan mendapat manfaat pembangunan infrastruktur pengangkutan dan logistik yang mampan dan berdaya tahan dengan pembinaan Sarawak-Sabah Link Road II dan Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B.
Sementara itu, Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, kementeriannya bersedia menjayakan inisiatif berkaitan pembangunan keusahawanan di negara ini dalam KSP RMK12 ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi.
Beliau yang menyambut baik pembentangan KSP RMK12, berkata secara keseluruhan ia bersifat holistik dan inklusif dengan memberi fokus kepada usaha meningkatkan kualiti hidup.
Menurutnya inisiatif diumumkan Perdana Menteri juga adalah selaras dengan lima fokus utama kementeriannya untuk membangunkan ekonomi mampan dan mewujudkan negara keusahawanan unggul. -Bernama

