
Kota Kinabalu: Ketua Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin menyifatkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sebagai bukti komitmen kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan luar bandar Sabah secara lebih sistematik dan strategik.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata RMK13 merupakan dokumen dasar yang mengarusperdanakan kepentingan Sabah melalui pelaburan dalam sektor ekonomi asas seperti pertanian, perikanan dan industri asas tani.
“RMK13 bukan hanya mencerminkan keinginan untuk membangunkan infrastruktur dan ekonomi wilayah, tetapi turut memperkukuh prinsip keadilan sosial serta daya tahan ekonomi luar bandar dalam jangka panjang,” katanya dalam kenyataan, Khamis.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Beliau berkata, peruntukan lebih RM227 bilion untuk sektor ekonomi, termasuk pembentukan hab perikanan bersepadu dan ekonomi biru di Sabah, adalah langkah tepat ke arah mengukuhkan rantaian bekalan makanan tempatan.
Katanya lagi, pendekatan menyeluruh dalam RMK13 turut merangkumi pemodenan sektor pertanian melalui automasi dan teknologi pintar, yang akan memberi impak besar kepada komuniti luar bandar.
Bung turut menyambut baik pembangunan Taman Perindustrian Kota Kinabalu, penaiktarafan depoh biodiesel di Sandakan dan Lahad Datu serta projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah sebagai antara projek berimpak tinggi.
“Penekanan terhadap pembangunan tenaga kerja luar bandar melalui TVET dan pembiayaan khusus di bawah TVET Madani akan mencorak generasi agropreneur muda dan teknokrat tempatan, sejajar dengan aspirasi RMK13 untuk menjana 1.2 juta peluang pekerjaan menjelang 2030, termasuk dalam ekonomi digital dan pertanian pintar,” katanya.
Beliau berkata RMK13 adalah satu titik tolak penting untuk Sabah, bukan sahaja sebagai penerima manfaat pembangunan, tetapi sebagai pemangkin pertumbuhan baharu negara.
“Saya menggesa agar Kerajaan Negeri Sabah bertindak lebih proaktif menyelaras strategi negeri dengan RMK13 secara substantif, agar peluang yang tersedia dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat Sabah,” katanya.

