RMK13 fokus tingkat gaji, cipta lebih banyak kerja mahir

LocalBusiness & Finance
3 Aug 2026 • 11:18 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: RMK13 fokus tingkat gaji, cipta lebih banyak kerja mahir

PETALING JAYA – Kerajaan menyasarkan bahagian pampasan pekerja kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) meningkat kepada 40 peratus menjelang 2030 menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, sumbangan pampasan pekerja kepada KDNK kini meningkat kepada 33.6 peratus pada 2024 berbanding 33.5 peratus pada 2023 dan kerajaan yakin sasaran itu mampu dicapai menerusi transformasi struktur ekonomi negara.

“Kerajaan akan mempercepat transformasi struktur ekonomi ke arah ekonomi bernilai tinggi yang dipacu inovasi, pendigitalan, peningkatan produktiviti, penggunaan teknologi termaju dan aktiviti berintensiti pengetahuan.

“Transformasi ini mampu mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran yang menawarkan gaji lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab lisan ketika menjawab pertanyaan Senator Datuk Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar yang meminta kerajaan menjelaskan strategi meningkatkan bahagian pampasan pekerja kepada 40 peratus daripada KDNK menjelang 2030 di Dewan Negara hari ini.

Menurutnya, kerajaan turut memberi tumpuan kepada pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP), Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) bagi menarik lebih banyak pelaburan berkualiti yang mampu mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Katanya, pembangunan bakat masa hadapan akan diperkasa melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), peningkatan kemahiran, latihan semula tenaga kerja serta pengukuhan padanan pekerjaan mengikut keperluan industri.

Beliau berkata, penyelarasan gaji secara menyeluruh juga akan dilaksanakan melalui pemerkasaan peranan Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN), termasuk penetapan gaji permulaan bagi siswazah dan lepasan TVET.

Selain itu, katanya, semakan gaji minimum akan diteruskan secara berkala, manakala Dasar Gaji Progresif (DGP) akan diperluaskan sekiranya terbukti memberi impak positif kepada pendapatan pekerja. Sehingga Disember 2027, seramai 4,025 majikan melibatkan 51,363 pekerja telah menyertai dasar tersebut. – KOSMO! ONLINE

The post RMK13 fokus tingkat gaji, cipta lebih banyak kerja mahir appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved