RMK13: Kerajaan Akan Teroka Mekanisme Pencen Bulanan Melalui KWSP

LocalBusiness & Finance
1 Aug 2025 • 9:33 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

RMK13: Kerajaan Akan Teroka Mekanisme Pencen Bulanan Melalui KWSP

KUALA LUMPUR — Kerajaan dalam usaha meneroka satu mekanisme lebih baik bagi menjamin pendapatan yang berterusan selepas bersara.

Ia sebagai usaha dalam memastikan simpanan persaraan yang mencukupi bagi menjamin kebajikan pekerja pada usia tua.

Menurut laporan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK) yang diterbitkan oleh Kementerian Ekonomi, mekanisme ini akan membolehkan pengasingan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada dua komponen, iaitu simpanan persaraan dan pencen persaraan.

“Melalui usaha ini, golongan pekerja akan dapat mengeluarkan sebahagian daripada simpanan, di samping menerima pencen bulanan pada umur persaraan,” maklum laporan itu.

Tambah laporan itu lagi, perlindungan sosial untuk semua golongan pekerja akan diperkukuh bagi memastikan perlindungan yang lebih menyeluruh, termasuk ke atas risiko kehilangan pekerjaan dan kemalangan.

“Perundangan khusus untuk pekerja gig akan digubal bagi menjamin kebajikan pekerja gig, termasuk hak untuk bekerja dalam suasana yang selamat, sihat dan kondusif.

“Perlindungan daripada bencana pekerjaan pula akan ditambah baik untuk meliputi kemalangan di luar waktu bekerja dan bukan berkaitan kerja.

“Perkhidmatan rehabilitasi dan pemulihan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) juga akan diperluas bagi membolehkan pekerja yang ditimpa kemalangan menerima rawatan yang diperlukan dan kembali bekerja.

“Inisiatif yang menitikberatkan keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan akan terus diperluas bagi meningkatkan kesejahteraan pekerja.

“Aturan kerja fleksibel yang membolehkan pekerja menyesuaikan jadual kerja dengan keperluan kehidupan akan terus digalakkan.

“Langkah ini juga akan dapat membantu mengurangkan risiko psikososial dan meningkatkan produktiviti pekerja serta memastikan pekerja kekal dalam sektor formal yang lebih terjamin,” maklum kenyataan itu.