
KUALA LUMPUR - Kerajaan MADANI komited untuk memperkukuh ekosistem tadbir urus melalui reformasi perundangan dan institusi termasuk Parlimen.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia meliputi pengukuhan mekanisme pemantauan dan penerapan nilai integriti sejak peringkat awal pendidikan hingga ke jentera pentadbiran.
Menurut beliau, pembaharuan menyeluruh akan dilaksanakan melaluipenguatkuasaan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025, dengan keutamaan diberikan kepada usaha mengurangkan beban kawal selia yang membelenggu rakyat dan komuniti perniagaan.
“Di bawah usaha pendigitalan perkhidmatan awam melalui GovTech, MyDigital ID akan diperkenalkan sebagai kunci pengesahan identiti digital tunggal yang selamat dan sahih, bagi memudahkan akses kepada pelbagai kemudahan awam dalam talian.
“Gerbang tunggal sektor awam juga akan dibangunkan sebagai platform sehenti bagi memudahkan urusan rakyat,” katanya semasa membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini.
Jelas Perdana Menteri, GovTech membolehkan sistem kehakiman negara termasuk Mahkamah Syariah ditambah baik.
“Penambahbaikan sistem e‑ Syariah dan perekodan prosiding misalnya, akan mempermudah dan mempercepat urusan orang awam, pegawai mahkamah termasuk peguam syarie.
“Kerajaan juga sedang melaksanakan projek pembangunan Akademi Kehakiman Syariah Malaysia,” katanya.
Beliau menarik perhatian, penjawat awam akan diberikan latihan intensif dalam bidang digital dan AI (kecerdasan buatan) bagi memperkasa bakat digital negara dan memanfaatkan analitik data raya.
“Dengan sasaran 95 peratus perkhidmatan Kerajaan Persekutuan dilaksanakan secara dalam talian sepenuhnya menjelang tahun 2030, kita yakin Malaysia mampu berdiri megah sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi yang berpacukan teknologi AI dan digital.
“Dengan pendekatan berfokus dan usaha berterusan, Malaysia pasti berupaya mencapai kedudukan 20 terbaik dunia dalam Online Service Index (UN e-Government Development Index) serta mengekalkan Kategori A dalam GovTech Maturity Index,” katanya. - Getaran, 31 Julai 2025


