
KUALA LUMPUR – Pandangan, saranan dan kritikan membangun daripada golongan akademia berhubung pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bakal dibawa ke perhatian Jemaah Menteri untuk diteliti.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pandangan daripada golongan akademik penting bagi memastikan pelaksanaan RMK13 mencapai hasrat dan matlamat yang ditetapkan kerajaan.
Menurut beliau, pihak penganjur Persidangan Wacana Awam RMK13: Hala Tuju dan Cabaran, diminta menyediakan laporan berkaitan hasil perbincangan untuk dipanjangkan kepada Jemaah Menteri.
“Saya lihat input, saranan, pandangan, kritikan membangun yang dapat diberikan oleh rakan-rakan akademia ini penting untuk dihadam.
“Bukan hanya oleh Kementerian Ekonomi, tetapi oleh setiap menteri,” katanya selepas merasmikan Persidangan Wacana Awam RMK13: Hala Tuju dan Cabaran di sini, hari ini.
Fahmi berkata, pandangan akademia itu penting memandangkan RMK13 kini memasuki tahun kedua pelaksanaannya dan wajar dinilai dari semasa ke semasa.
Katanya, penilaian berkenaan perlu memastikan projek dan perkara yang dirancang di bawah RMK13 benar-benar memberi hasil seperti yang disasarkan.
Dalam pada itu, Fahmi menegaskan pelaksanaan setiap Rancangan Malaysia perlu mengambil kira aspek tatakelola memandangkan ia menggunakan peruntukan daripada wang rakyat.
“Pelaksanaan projek-projek di bawah RMK13 terutamanya perlu pastikan aspek urus tadbirnya betul, tidak berlaku apa-apa salah guna dan juga aspek kleptokrasi ataupun rasuah dan sebagainya.
“Dan sama ada beberapa perkara yang direncanakan benar-benar mencapai hasrat dan matlamat,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post RMK13: Pandangan, kritikan akademia bakal dibawa ke Jemaah Menteri appeared first on Kosmo Online.






