RMK13: Program MADANI Rakyat Diteruskan, Dengar Sendiri Masalah Rakyat - PM

LocalPolitics
31 Jul 2025 • 2:33 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar fail

KUALA LUMPUR - Program MADANI Rakyat akan diteruskan sebagai medan untuk pemimpin turun padang bagi mendekati dan mendengar sendiri keluh kesah rakyat. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sesi libat urus yang dimulakannya sejak awal tahun lalu akan tetap diteruskan walaupun di negeri yang ditadbir pembangkang. 

Menurut beliau, sesi seumpama itu membolehkan kerajaan lebih memahami keutamaan pembangunan di setiap negeri dan hasilnya, beberapa projek berorientasi rakyat berjaya dikenal pasti.

“Ia mencakupi projek peningkatan kemudahan Negeri Sembilan Miniature Culture Village; pembinaan Loji Rawatan Air Machang di Kelantan; projek penyelesaian isu bekalan air di Wilayah Persekutuan Labuan.

“Projek pembangunan klinik kesihatan Pulau Perhentian di Terengganu; pembinaan bangunan tambahan Hospital Kulim di Kedah dan pengukuhan rangkaian peruncitan Pasar Tamu di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau menyatakan demikian semasa membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini. 

Perdana Menteri memberitahu, Inisiatif Kemudahan Rakyat juga akan diteruskan untuk membolehkan rakyat memohon terus peruntukan bagi menambah baik infrastruktur asas di kawasan mereka.

Ekosistem persaingan juga katanya, akan diperkukuh melalui rangka perundangan baharu berkaitan aktiviti rent-seeking bagi memastikan rent-seekers dapat dibanteras secara lebih tegas dan berkesan.

“Reformasi fiskal akan diteruskan demi memastikan bantuan yang disalurkan benar-benar sampai kepada rakyat yang paling memerlukan.

“Pada masa sama, kaedah penswastaan berasaskan user pay akan diperluas bagi mengimbangi beban kewangan Kerajaan,” katanya. 

Anwar berkata, kerajaan juga menekankan keperluan pengurusan nilai dan kecekapan kos dalam semua projek infrastruktur awam.

“Ini bagi memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan memberikan pulangan yang optimum kepada rakyat selaras dengan prinsip value for money,” katanya. - Getaran, 31 Julai 2025