
KUALA LUMPUR - Pihak Roblox memberi jaminan untuk mempertingkatkan keselamatan melalui penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pemantauan manusia, kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Menurut Hannah, Roblox juga bersedia bekerjasama dengan kerajaan Malaysia terutama melibatkan perkongsian data dan mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan.
Hannah memberitahu, dalam pertemuan itu, beliau telah menyatakan kebimbangan mengenai aplikasi aplikasi permainan dalam talian yang popular itu.
“Sebagai Menteri Belia dan Sukan dan juga seorang ibu, saya risau apabila melihat bagaimana sesetengah permainan dalam talian boleh mempengaruhi tingkah laku dan emosi kanak-kanak.
“Platform seperti Roblox kini mempunyai lebih 100 juta pengguna di seluruh dunia termasuk lebih 1 juta di Malaysia.
“Dengan capaian sebesar ini, tanggungjawab melindungi pengguna muda tidak boleh dipandang ringan,’’ katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Beliau turut memuatnaik beberapa keping gambar dengan pihak Roblox.
Isu keselamatan melibatkan permainan dalam talian Roblox hangat diperkatakan susulan insiden seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera parah akibat dikelar dan ditikam di Kampung Parit Nipah Laut, Batu Pahat, oleh abangnya baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad siasatan awal mendapati suspek dipercayai bertindak demikian selepas berang apabila permainan dalam talian Roblox miliknya terganggu hingga menyebabkan kehilangan kira-kira sejuta mata terkumpul (point) selepas mangsa merosakkan telefon bimbit berkenaan.
Berikutan itu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata kerajaan sedang memantau dan meneliti keperluan untuk melesenkan sekurang-kurangnya 10 jenis permainan dalam talian, termasuk Roblox, yang didapati tidak sesuai untuk kanak-kanak berusia bawah 16 tahun.
Fadzil berkata, pihaknya sedang meneliti mekanisme dan kerangka kawal selia terbaik dan memerlukan sedikit masa sebelum pengumuman rasmi dibuat.
Dalam pada itu, Hannah memberitahu, dunia digital bukan sahaja perlu menyeronokkan tetapi juga membina karakter dan nilai yang betul untuk generasi akan datang. - 3 November, 2025
The post Roblox bagi jaminan pertingkat keselamatan melalui AI, pemantauan manusia: Hannah appeared first on Scoop.


