Robot Mengandungkan Bayi Manusia Seakan Filem The Matrix Dibangunkan Di China

WorldSpace
18 Aug 2025 • 4:00 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Adakah logik mesin boleh melahirkan manusia di masa hadapan? Ini ialah idea wujud dalam filem seperti The Matrix dimana manusia dibesarkan di dalam pod sejak janin dan kemudian hidup dalam dunia simulasi. Tetapi di China, syarikat Kaiwa Technology mendakwa mereka akan menawarkan robot yang boleh membesarkan bayi manusia dalam rahim buatan dan kemudian melahirkannya seawal 2026.

image is not available
The Matrix – WB Pictures

Kaiwa Technology ditubuhkan oleh Dr Zhang Qifeng dengan beliau mendakwa teknologi rahim robot syarikat beliau sudah di peringkat yang cukup matang untuk ditawarkan tahun depan. Pasangan yang ingin bayi dikandungkan oleh robot hanya perlu membayar RMB 100,000 (~RM 59,000) untuk perkhidmatan ibu tumpang robotik ini.

Walaupun mendakwa teknologi sudah bersedia untuk ditawarkan, Kaiwa Technology tidak berkongsi bagaimana proses persenyawaan, tempelan pada rahim robot dan bagaimana nutrien tumbesaran bayi akan dilakukan. Pada waktu yang sama syarikat juga belum menerima pelepasan daripada kerajaan China untuk menawarkan prosedur baharu yang tidak menjalani ujian klinikal manusia.

image is not available
Rahim buatan manusia Children’s Hospital of Philadelphia

Idea membesarkan bayi manusia dalam rahim buatan bukanlah baharu. Pada tahun 2017 kami melaporkan anak kambing biri-biri berjaya dikandungkan dalam rahim buatan manusia yang diperbuat daripada plastik.

Dalam eksperimen yang dilalukan Children’s Hospital of Philadelphia, lapan fetus kambing berjaya hidup di dalam rahim buatan manusia selama lapan minggu. Beg plastik yang digunakan menjadi ganti kepada rahim dan anak kambing diselaputi cecair amniotik juga buatan manusia. Namun begitu dalam eksperimen ini fetus kambing dikeluarkan daripada rahim ibu mereka sebelum dibesarkan sepenuhnya sehingga cukup sifat.