
KEMUNCULAN robot dalam sektor pembuatan bukan lagi sekadar gambaran teknologi masa depan, sebaliknya semakin menjadi sebahagian daripada operasi kilang moden di seluruh dunia.
Daripada memasang komponen elektronik, mengimpal badan kenderaan, memindahkan barangan sehingga menjalankan pemeriksaan kualiti, robot kini mengambil alih pelbagai tugasan yang memerlukan ketepatan, kelajuan dan konsistensi.
Perkembangan ini turut dipacu oleh kecerdasan buatan (AI), pembelajaran mesin, penglihatan komputer dan sistem automasi yang menjadikan robot lebih pintar serta mampu menyesuaikan diri dengan persekitaran pengeluaran yang semakin kompleks.
Menurut International Federation of Robotics (IFR), sebanyak 542,000 robot industri dipasang di seluruh dunia pada 2024, lebih dua kali ganda berbanding sedekad sebelumnya.
Jumlah pemasangan tahunan juga melepasi 500,000 unit untuk tahun keempat berturut-turut, manakala Asia menyumbang 74 peratus daripada pemasangan baharu tersebut.
Data ini menunjukkan bahawa robotik semakin menjadi elemen penting dalam usaha industri meningkatkan produktiviti dan daya saing.
Doktor Falsafah Universiti Negeri Carolina Utara Amerika Syarikat (AS), Mohammad Tuhin berkongsi dalam penulisannya di portal Science News Today, antara perubahan terbesar yang dibawa robot ialah peningkatan kecekapan pengeluaran.
“Robot boleh menjalankan tugasan berulang secara berterusan dengan tahap ketepatan yang tinggi tanpa mengalami keletihan seperti manusia.
“Dalam sektor automotif misalnya, robot digunakan untuk kerja mengimpal, mengecat dan memasang komponen,” katanya.
Tambahnya, dalam industri elektronik pula, robot boleh mengendalikan komponen kecil yang memerlukan ketepatan tinggi.
Keupayaan ini membantu pengeluar mengurangkan kesilapan, mempercepat proses dan menghasilkan produk yang lebih konsisten.
Robot juga mengubah cara kilang menangani tugasan yang berisiko. Pekerjaan yang melibatkan suhu tinggi, bahan kimia, beban berat atau pergerakan berulang boleh diserahkan kepada mesin,
sekali gus mengurangkan pendedahan pekerja kepada bahaya.

Pada masa sama, kemunculan robot kolaboratif atau ‘cobot’ membolehkan manusia dan mesin bekerja dalam ruang yang sama.
Kata Mohammad Tuhin lagi, berbanding robot industri tradisional yang biasanya beroperasi di kawasan berpagar, cobot direka untuk membantu manusia dalam tugasan tertentu, termasuk pemasangan, pemindahan komponen dan pemeriksaan.
“Lebih menarik, robot generasi baharu semakin bergantung kepada AI untuk membuat keputusan berdasarkan data daripada sensor dan kamera.
“Teknologi penglihatan komputer membolehkan robot mengenal pasti objek, mengesan kecacatan dan menentukan kedudukan sesuatu komponen sebelum melakukan tindakan,” ujarnya.
Katanya lagi, IFR turut menyatakan bahawa AI, pembelajaran mesin, robot kolaboratif, manipulasi mudah alih, digital twin dan robot humanoid sedang meluaskan skop proses yang boleh diautomasi.
Dalam persekitaran kilang pintar, robot tidak lagi beroperasi secara terasing. Ia boleh disambungkan kepada sistem pengurusan pengeluaran, sensor Internet of Things (IoT) dan platform analitik data.
Maklumat masa nyata daripada mesin boleh digunakan untuk mengenal pasti tanda awal kerosakan, menjadualkan penyelenggaraan dan mengoptimumkan penggunaan bahan serta tenaga.
Pendekatan ini membawa industri daripada automasi biasa kepada sistem pengeluaran yang lebih pintar, fleksibel dan berasaskan data.
“Perubahan tersebut bagaimanapun tidak bermakna manusia akan hilang sepenuhnya daripada lantai kilang.
“Sebaliknya, sifat pekerjaan sedang berubah. Tugas manual yang berulang semakin banyak diautomasi, manakala permintaan terhadap pekerja yang mempunyai kemahiran dalam robotik, pengaturcaraan, analisis data, penyelenggaraan sistem dan integrasi AI semakin penting,” tambah Mohammad Tuhin.
Sementara itu, satu penyelidikan yang diterbitkan pada 2026 turut menunjukkan penggunaan robot industri mempunyai kaitan dengan inovasi, perdagangan dan daya tahan rantaian nilai pembuatan.
Perkembangan robotik juga membuka peluang kepada syarikat kecil dan sederhana. Kos serta kerumitan sistem automasi yang semakin berkurangan membolehkan lebih banyak perusahaan mempertimbangkan penggunaan robot bagi proses tertentu tanpa perlu membina kilang yang sepenuhnya automatik.
Dalam masa sama, robot membantu industri menghadapi cabaran kekurangan tenaga kerja dan keperluan meningkatkan produktiviti. IFR menjangkakan pemasangan robot industri global melepasi 700,000 unit menjelang 2028.
Dengan kemajuan teknologi yang semakin pantas, kilang masa depan berpotensi menjadi lebih pantas, tepat, fleksibel dan berdaya tahan, sementara tenaga manusia pula boleh lebih tertumpu kepada kreativiti, penyelesaian masalah, kawalan teknologi dan tugas bernilai tinggi.
The post Robot mengubah landskap industri pembuatan appeared first on Kosmo Digital.

