BESUT: Seorang penunggang motosikal maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung sebuah motosikal lain dalam kemalangan membabitkan tiga buah motosikal di Kampung Gong Kepas Dalam dekat sini semalam.
Mangsa, Mohammad Asyreff Mohd Presley, 21, pelajar Kolej Vokasional Besut meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah dialaminya, kira-kira jam 6.45 petang itu.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, kemalangan dipercayai berlaku semasa mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Future dan rakannya, Muhammad Hafizudin Ismail, 20, yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda dari arah Gong Kepas Luar menghala ke Gong Kepas Dalam.
“Apabila sampai di tempat kejadian, dikatakan secara tiba-tiba muncul sebuah motosikal jenis Modenas ACE, ditunggang Muhammad Zulhisyam Mohd Zaini, 16, dari arah bertentangan sedang memotong kenderaan di hadapannya lalu berlaku perlanggaran dengan kedua-dua buah motosikal itu,” katanya.
Mohd Zamri berkata, akibat pertembungan itu, Mohammad Asyreff yang juga anak kepada anggota polis, Koperal Mohd Presley Mohd Ali dari Cawangan Pengangkutan Ibu Pejabat Polis (IPD) Besut meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Besut untuk bedah siasat.
Bagaimanapun rakannya hanya cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di hospital sama sementara Muhammad Zulhisyam pula cedera parah.
“Hasil bedah siasatan mendapati punca kematian mangsa akibat kecederaan parah di bahagian muka dan kepala,” katanya.
Mohd Zamri berkata, kes akan disiasat menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

