
Subjenama gaming Asus, Republic of Gamers (ROG), telah mengutuskan sesuatu yang menarik pada 1 April 2023 yang lalu. Disangka ramai orang sebagai guarauan, namun ia adalah sebuah produk yang benar-benar sedang dibangunkan ROG. Dinamakan ROG Ally, ia dilihat sebagai pesaing sengit kepada Steam Deck.
Seorang YouTuber terkenal dilapor telah mencuba set prototaip yang disediakan oleh pihak Asus dan berkongsikan pengalamannya.
ROG Ally dikatakan nyata lebih berkuasa berbanding Steam Deck bermula pada SoC yang menjadi tunjang kepada sesebuah komputer. ROG Ally bernadikan AMD Zen 4 yang dibangunkan menggunakan teknologi TSMC 4nm. Sebagai perbandingan, Steam Deck mengguna pakai teknologi Zen 2 yang agak berusia. Begitu juga dengan GPU, ROG Ally menerima manfaat daripada RDNA 3 berbanding RDNA 2 pada pesiangnya itu.
Dengan cipset yang lebih berkuasa, sepatutnya pengguna perlu jangkakan yang sistem penyejukkan perlu bekerja lebih kuat. Namun, didapati yang kipas penyejuk ROG Ally lebih senyap berbanding Steam Deck sebanyak 46%.
Di bahagian muka, Ally memiliki panel paparan 7" bernisbah 16:9. Resolusinya adalah FHD dan tahap kecerahan setinggi 500 nits. Kadar segar semula adalah lebih baik pada 120Hz.
Untuk butang-butang fizikal, kelihatan komponen-komponen biasa sebuah pad gaming boleh anda temui seperti dua tuil arah, d-pad, butang bahu, dan beberapa butang lain. Antara yang menarik adalah port I//O yang diberikan. Anda juga terima penyambung Asus XG Mobile yang menyokong kad grafik luaran sehingga RTX 4090.
Setakat itu sahajalah maklumat yang kita ada tentang ROG Ally. Tarikh pelancarannya turut masih belum dikongsikan.
Sumber: Tom's Hardware
