
KUALA LUMPUR - Usaha akhir bekas eksekutif bank Goldman Sachs, Roger Ng untuk mengenepikan sabitan atas pembabitannya dalam penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditolak Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat.
Ng, satu-satunya pegawai kewangan Goldman Sachs yang dibicarakan di Amerika Syarikat berhubung penipuan itu, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun selepas disabitkan oleh juri persekutuan di Brooklyn, New York, pada 2022.
Amerika Syarikat kemudian membenarkan beliau pulang ke Malaysia pada 2023 untuk membantu siasatan pihak berkuasa negara ini, walau beliau sepatutnya mula menjalani hukuman penjara.
Mahkamah Rayuan Litar Kedua Amerika Syarikat di Manhattan mengekalkan sabitan terhadap Roger Ng, sekali gus menolak dakwaannya bahawa perbicaraannya tidak adil kerana juri tidak dibenarkan mendengar satu rakaman penting, kerajaan didakwa melanggar perjanjian ekstradisi dengannya, dan kes itu tidak sepatutnya dibicarakan di Brooklyn.
“Kami tidak mendapati sebarang hujah beliau meyakinkan,” kata Hakim Litar AS, Amalya Kearse, dalam keputusan setebal 50 halaman yang dikeluarkan bagi pihak panel tiga hakim.
Peguam Ng bagaimanapun tidak memberikan sebarang maklum balas ketika di minta media untuk mengulas lanjut.
Menurut pendakwa raya, Ng dan bekas ketuanya di Goldman Sachs, Tim Leissner, melaksanakan penipuan berkenaan bersama ahli perniagaan Malaysia, Jho Low, yang didakwa sebagai dalang utama skim itu.
Low, yang kini diburu, didakwa membayar ratusan juta dolar kepada pegawai di Malaysia dan Abu Dhabi bagi memastikan urus niaga bon yang diatur Goldman diluluskan, sebelum mengambil AS$1.42 bilion untuk dirinya.
Menurut pendakwa raya, Leissner memperoleh AS$73.4 juta daripada skim itu manakala Ng menerima AS$35.1 juta.
Ng berhujah di Mahkamah Rayuan bahawa sabitannya dicemari beberapa keputusan salah yang dibuat hakim perbicaraan, termasuk dakwaan bahawa hakim itu "merosakkan" pembelaannya apabila peguamnya dihalang daripada mengemukakan rakaman panggilan video antara isterinya dan Leissner, yang menurutnya boleh membuktikan bayaran AS$35 juta itu bukan sogokan.
Dalam panggilan itu, Ng berkata isterinya meminta Leissner membantu mencari dokumen berkaitan satu pelaburan yang didakwa wujud antara isterinya dan isteri Leissner ketika itu, yang menurut Ng akan menjelaskan sumber dana tersebut.
Bagaimanapun, pendakwa raya menolak hujah tersebut, dengan menyatakan rakaman itu tidak membuktikan isteri Ng pernah membuat pelaburan bersama isteri Leissner sebelum ini.
Ng disabitkan atas tiga pertuduhan, termasuk bersubahat melanggar undang-undang anti-rasuah Amerika Syarikat dan melakukan pengubahan wang haram. - 7 Disember, 2025
The post Roger Ng gagal batalkan sabitan kes 1MDB appeared first on Scoop.
