Rogol anak kandung hingga lahirkan bayi, bapa dijel 60 tahun dan 60 sebatan

24 Jul 2026 • 4:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Rogol anak kandung hingga lahirkan bayi, bapa dijel 60 tahun dan 60 sebatan
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR - Penderitaan seorang anak menjadi mangsa rogol bapa kandung sejak lima tahun lalu sehingga mangsa melahirkan seorang bayi perempuan, akhirnya mendapat pembelaan, selepas Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat memerintahkan lelaki warga Indonesia itu dihukum penjara 60 tahun dan 60 sebatan.

Lelaki berusia 56 tahun berkenaan dikenakan hukuman tersebut selepas mengaku bersalah atas semua pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim, Mazuliana Abdul Rashid.

Dia dihukum penjara 10 tahun dan 10 sebatan bagi setiap kes dan memerintahkan hukuman penjara itu berjalan secara berasingan dari tarikh tangkap 23 Julai lalu.

Mengikut semua pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai pemandu didakwa merogol anak perempuannya, kini berusia 19 tahun di sebuah unit kondominium di Taman Midah di sini antara 2 Oktober 2021 hingga 30 Jun lalu.

Setiap pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara antara lapan hingga 30 tahun serta maksimum 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa telah dirogol sebanyak enam kali oleh bapanya sehingga mangsa melahirkan seorang anak, malah berdasarkan laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan tertuduh merupakan bapa kandung kepada bayi berkenaan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Banusha Jegathesan memohon hukuman berat dengan mengambil kira peranan tertuduh sebagai bapa kandung, yang sepatutnya bertanggungjawab menjaga anak.

"Mangsa mengalami kemurungan melampau kerana kejadian itu berlaku berulang kali malah dia mempunyai niat untuk membunuh diri.

"Bagaimanapun perkara itu berjaya dielakkan selepas nalurinya sebagai seorang ibu yang masih memikirkan anaknya yang kini berusia empat tahun," kata Banusha.

Beliau berkata, sebelum ini tertuduh didakwa atas dakwaan mencabul terhadap anak mangsa.

Sementara itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu dikenakan hukuman ringan dengan alasan dia telah tinggal di negara ini selama 43 tahun.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved