Rogol Pelajar Tingkatan 3: ‘4 Pelajar Senior Itu Sudah Dibuang’ - KP

LocalPolitics
13 Oct 2025 • 5:43 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Kesemua suspek ketika dibawa ke mahkamah untuk perintah reman - Gambar media sosial

KUALA LUMPUR - Empat pelajar Tingkatan Lima di Alor Gajah, Melaka yang disyaki terlibat merogol pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sekolah sama telah dibuang serta-merta.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, keputusan tersebut dibuat oleh Lembaga Disiplin Sekolah yang bersidang hari ini.

Menurut beliau, lembaga berkenaan sepakat menjatuhkan hukuman buang sekolah kepada semua suspek terlibat. 

“Semua suspek tidak akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sekolah yang sama.

“Mereka sebaliknya akan menduduki peperiksaan sama ada di pusat tahanan atau di lokasi berasingan daripada pusat asal sekolah mereka,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya hari ini.

Mohd Azam mengulas lanjut, pelajar yang telah dibuang bagaimanapun boleh memohon untuk kembali bersekolah, tetapi di sekolah berlainan. 

“Mereka akan ditempatkan di sekolah lain. Kami juga akan merahsiakan identiti mereka supaya mereka dapat menduduki peperiksaan dengan selamat. 

“Jika, sebagai contoh, mereka ditempatkan di pusat tahanan, terdapat prosedur khas dalam buku pengurusan peperiksaan SPM Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan kami akan menguruskannya mengikut prosedur sedia ada,” katanya.

Jelas beliau, penentuan lokasi peperiksaan akan diuruskan oleh pegawai di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

“Kesemua pelajar terbabit masih mempunyai hak untuk menduduki SPM, dan pihak Kementerian Pendidikan (KPM) akan memastikan mereka dapat berbuat demikian.

“Bagi kami di peringkat KPM, prinsip kami mudah, seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan (oleh mahkamah). Itulah prinsip yang sentiasa kami pegang,” katanya.

Bagaimanapun tegas beliau, ia tidak bermakna kesemua suspek terlepas daripada hukuman.

“Perkara ini (menduduki peperiksaan) tidak mengganggu proses undang-undang yang sedang berjalan.

“Mereka masih tertakluk di bawah proses perundangan sepatutnya,” katanya. - Getaran, 13 Oktober 2025