Rohana pulangkan wang, aset berkait 1MDB kepada kerajaan

LocalPolitics
24 Mar 2023 • 5:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Laporan Sinar Harian pada 25 Februari 2022

SHAH ALAM - Wang berjumlah 10 juta ASD serta aset yang dikaitkan dengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah diserahkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Berhad, Datuk Rohana Rozhan kepada kerajaan tahun lalu.

Sumber berkata, kesemua wang termasuk aset terbabit dipulangkan kepada kerajaan selepas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) selesai.

"Siasatan mendapati Rohana tidak mempunyai pengetahuan tentang sumber dana dikaitkan dengan penyelewengan dana 1MDB yang dihantar oleh bekas rakan kongsi Goldman Sachs Inc, Tim Leissner.

"Sehubungan itu, beliau telah memulangkan keseluruhan jumlah wang dan aset tersebut secara sukarela kepada kerajaan Malaysia," katanya pada Jumaat.

Menurutnya, siasatan membabitkan Rohana berkaitan dengan dana 1MDB selesai dan tiada tindakan undang-undang susulan terhadapnya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan berkaitan pemulangan wang tersebut.

"Sehingga kini jumlah keseluruhan aset 1MDB yang telah berjaya dikembalikan adalah sebanyak RM28.93 bilion iaitu lebih kurang 70 peratus," katanya.

Pada Februari tahun lalu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah firma itu mengesahkan telah dipanggil oleh SPRM untuk siasatan lanjut.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan melalui firma guaman, Tetuan Valen, Oh & Partners, Rohana menjelaskan beliau sedia memberikan kerjasama penuh dalam siasatan yang dijalankan.