Rohas Tecnic ambil alih 51% kepentingan syarikat mekanikal, CentriX Engineering berharga RM14 juta

LocalBusiness & Finance
28 May 2026 • 5:45 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Rohas Tecnic ambil alih 51% kepentingan syarikat mekanikal, CentriX Engineering berharga RM14 juta Image from: Rohas Tecnic ambil alih 51% kepentingan syarikat mekanikal, CentriX Engineering berharga RM14 juta amree28/05/2026 - 17:45 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 28 MeiRohas Tecnic Berhad memperluaskan prospek rantaian nilai pusat data (DC) menerusi pengambilalihan 51% kepentingan CentriX Engineering (M) Sdn Bhd pada harga RM14.28 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu menandatangani lembaran terma tidak mengikat dengan pemilik tunggal syarikat tersebut, Chin Kok You bagi cadangan pengambilalihan berkenaan.


Langkah itu dilihat selari dengan strategi Rohas memperkukuhkan penglibatan dalam infrastruktur kritikal termasuk DC dan rangkaian telekomunikasi yang kini berkembang pesat di seluruh Malaysia.


"CentriX menjadi pilihan kerana terlibat dalam kerja pemasangan mekanikal dan elektrikal (M&E) khusus bagi infrastruktur kritikal termasuk DC dan telekomunikasi," jelas kumpulan berkenaan.


Berdasarkan rekod kewangan teraudit, syarikat itu mencatat keuntungan selepas cukai (PAT) RM1.44 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 berbanding RM1.05 juta pada tahun sebelumnya.


Menurut Rohas, harga pembelian tersebut dibuat berdasarkan penilaian keseluruhan RM28 juta bagi 100% ekuiti CentriX selain mengambil kira potensi pertumbuhan jangka panjang dalam sektor DC.


“Cadangan pengambilalihan ini dijangka memberi kesan positif kepada pendapatan kumpulan serta mewujudkan sinergi operasi dengan perniagaan kejuruteraan dan pembinaan sedia ada,” tambahnya.


Pembelian tersebut ujar kumpulan berkenaan akan dilaksanakan secara tunai menerusi tiga peringkat pembayaran dengan sebanyak RM6.28 juta dibayar selepas perjanjian jual beli itu dimuktamadkan.


Sementara baki kira-kira RM8 juta lagi pula jelas Rohas, masih lagi bergantung kepada penilaian pencapaian keuntungan yang akan dicatatkan oleh CentriX bagi tempoh kewangan 2026 hingga 2027.


Di bawah mekanisme jaminan keuntungan, vendor itu memberi jaminan keuntungan terkumpul RM8 juta bagi tempoh dua tahun tersebut dan sebarang kekurangan akan mengurangkan pembayaran tertangguh.


"Rohas turut memaklumkan yang CentriX akan melaksanakan terbitan hak sebanyak empat juta saham baharu bagi mengumpul modal kerja kira-kira RM4 juta selepas urus niaga itu selesai," katanya.


Menurutnya lagi, daripada jumlah berkenaan, kumpulan tersebut akan turut melanggan sebanyak 2.04 juta saham baharu untuk terus mengekalkan pegangannya kira-kira 51% dalam syarikat berkenaan.


Cadangan pengambilalihan dijangka dibiayai melalui gabungan dana dalaman dan pinjaman bank, dengan perjanjian jual beli saham dimeterai dalam tempoh 90 hari selepas lembaran terma ditandatangani.


Lembaga pengarah Rohas berpandangan langkah itu adalah demi kepentingan terbaik syarikat memandangkan prospek pertumbuhan kukuh sektor DC dan telekomunikasi di Malaysia. - DagangNews.com

Terkini standard
View Original Article