Rohingya: ASEAN perlu tangani punca

LocalPolitics
20 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Rohingya: ASEAN perlu tangani punca

LIMA tahun selepas Konsensus Lima Perkara (5PC) diwujudkan untuk menangani krisis Myanmar, sudah tiba masanya ASEAN berani bertanya, apakah sebenarnya yang telah dicapai? Jawapannya tidak memberangsangkan. Ini kerana keganasan berterusan, dialog politik inklusif belum tercapai dan akses kemanusiaan kekal terbatas.

Pada Julai lalu, Myanmar menolak keperluan penglibatan berterusan Utusan Khas ASEAN selepas pilihan raya yang dipertikaikan, menunjukkan betapa terbatasnya pengaruh kerangka sedia ada.

Bagi Rohingya, keadaannya lebih mendasar. Krisis ini bukan bermula dengan rampasan kuasa 2021. Ia berakar pada diskriminasi sistemik, kehilangan kewarganegaraan, sekatan kebebasan bergerak dan kegagalan perlindungan undang-undang yang berlaku selama beberapa dekad.

Kelemahan 5PC bukan sekadar soal pelaksanaan tetapi juga soal skop dan reka bentuk.

Kerangka yang dibentuk untuk menangani krisis politik pasca-rampasan kuasa tidak mungkin, dengan sendirinya, menyelesaikan persoalan kewarganegaraan dan penganiayaan terhadap Rohingya.

Hari ini, masalah itu bukan lagi semata-mata masalah Myanmar tetapi ASEAN dan secara langsung masalah Malaysia.

Lebih 210,000 pelarian dan pencari suaka berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) berada di Malaysia, termasuk kira-kira 125,000 Rohingya. Angka ini mempunyai implikasi nyata terhadap penguatkuasaan Imigresen, keselamatan, pekerjaan, perumahan, pendidikan, kesihatan awam dan hubungan sosial.

Kebimbangan rakyat Malaysia terhadap kemasukan tidak terkawal dan ketiadaan sistem pengurusan pelarian yang berkesan tidak wajar dipandang ringan.

Malaysia bukan pihak kepada Konvensyen Pelarian 1951 dan mempunyai hak berdaulat untuk mengawal sempadan serta menguatkuasakan undang-undang Imigresen tetapi di sinilah kita perlu membezakan antara kawalan sempadan dengan pemulangan ke tempat yang tidak selamat.

Malaysia kini mengambil langkah memperkemas pengurusan melalui Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP), termasuk mengambil alih fungsi pendaftaran secara lebih tersusun dan berasaskan data.

 

Image from: Rohingya: ASEAN perlu tangani punca
ASEAN tidak boleh terus hanya mengurus kesan krisis Rohingya, sebaliknya perlu menangani punca masalah di Myanmar.

PENYELESAIAN ADIL

Pada Julai, kerajaan meminta UNHCR menghentikan sementara pendaftaran baharu bagi membolehkan sistem nasional itu disusun semula. Langkah ini wajar. Negara perlu tahu siapa yang berada di dalam sempadannya.

Pengesahan identiti, saringan keselamatan dan rekod yang tepat membolehkan kerajaan membezakan pelarian sebenar, pencari suaka, migran ekonomi, mangsa pemerdagangan manusia dan mereka yang mempunyai isu keselamatan. Namun sistem ini perlu disertai prosedur yang adil dan perlindungan asas supaya kawalan migrasi tidak bertukar menjadi penghantaran pulang manusia kepada situasi yang bahaya kerana penyelesaian sebenar bukan di Malaysia.

Krisis Rohingya tercipta di Myanmar dan tidak boleh selama-lamanya diurus oleh Malaysia, Indonesia dan Bangladesh.

Di sinilah ASEAN mesti berubah daripada mengurus akibat kepada menyelesaikan punca.

Pertama, ASEAN perlu membentuk mekanisme serantau khusus mengenai Rohingya yang melibatkan Myanmar, Bangladesh, negara anggota ASEAN, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan yang paling penting, wakil Rohingya sendiri.
Kedua, perlu diwujudkan perkongsian beban yang sebenar. Negara yang menjadi destinasi utama tidak boleh dibiarkan menanggung kos secara berpanjangan.

Malaysia tidak semestinya perlu menawarkan kewarganegaraan atau penempatan kekal. Sebaliknya, mekanisme serantau boleh merangkumi pembiayaan, pendidikan, kesihatan, sokongan kepada komuniti tuan rumah dan bagi negara yang bersedia, penempatan semula secara sukarela dan terhad.

Ketiga, Malaysia perlu memimpin usaha ASEAN untuk membina syarat kepulangan yang nyata. Pemulangan tidak boleh sekadar bermaksud memindahkan seseorang dari satu negara ke negara lain. Ia mesti sukarela, selamat dan bermaruah, dengan jaminan keselamatan serta pemantauan yang berkesan.

Keempat, persoalan paling sukar tetapi paling penting mesti dikembalikan ke meja rundingan ialah tentang kewarganegaraan.

Tanpa kewarganegaraan dan kesamarataan di sisi undang-undang, kita hanya mengurus pelarian untuk generasi berikutnya. Rohingya tidak akan benar-benar pulang jika mereka kembali sebagai penduduk tanpa status, tanpa kebebasan bergerak dan tanpa perlindungan daripada penganiayaan.

Perkembangan di Rakhine pula menunjukkan mengapa pemulangan tergesa-gesa amat bahaya. Rohingya terus terperangkap dalam konflik antara tentera Myanmar dan Arakan Army serta berdepan pelbagai bentuk pencabulan hak.
Human Rights Watch mendokumentasikan sekatan dan pencabulan serius terhadap Rohingya oleh Arakan Army.

Maka, ASEAN tidak boleh hanya berunding dengan Naypyidaw. Realiti kuasa di Rakhine juga mesti diambil kira dalam usaha mendapatkan akses kemanusiaan dan mewujudkan keadaan yang membolehkan kepulangan selamat.

Dalam konteks undang-undang antarabangsa, prosiding The Gambia lwn. Myanmar di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memberi dimensi baharu kepada usaha ini.

Pendengaran merit selesai pada Januari 2026 dan penghakiman kini ditunggu. Jika mahkamah mendapati Myanmar melanggar Konvensyen Genosid, keputusan itu harus menjadi titik tolak kepada tindakan serantau yang lebih konkrit, bukan sekadar kenyataan diplomatik.

Kita juga tidak boleh mengabaikan perkembangan akauntabiliti di ICJ dan mekanisme siasatan antarabangsa terhadap jenayah di Myanmar. Malah pada Ogos 2026, mekanisme penyiasatan PBB masih mendokumentasikan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan oleh pelbagai pihak dalam konflik Myanmar.

Malaysia, tidak perlu memilih antara keselamatan negara dengan kemanusiaan. Kedua-duanya boleh dipertahankan melalui sistem pendaftaran yang kukuh, kawalan sempadan yang berkesan, penguatkuasaan undang-undang, perlindungan terhadap mereka yang benar-benar memerlukan perlindungan dan diplomasi ASEAN yang lebih tegas.

Matlamat akhirnya juga mesti jelas. Kita tidak mahu Rohingya menjadi pelarian yang lebih selesa di Malaysia untuk selama-lamanya. Kita mahu mereka tidak perlu menjadi pelarian lagi.

Sebagai seorang yang telah lama terlibat dalam usaha menangani isu Rohingya, pendirian saya sederhana iaitu Malaysia berhak mengurus sempadannya. Rakyat Malaysia berhak menuntut sistem yang teratur. Namun, penyelesaian yang berkekalan tidak boleh berakhir dengan mengembalikan manusia kepada tempat yang belum menjamin keselamatan dan hak mereka.

Rohingya mesti dapat pulang ke tanah air, bukan sekadar pulang secara fizikal tetapi pulang sebagai warganegara yang mempunyai hak, keselamatan dan maruah.Jika ASEAN benar-benar mahu mengatakan genosid terhadap Rohingya mesti berakhir, maka itulah ukuran kejayaan sebenar.-UTUSAN

PENULIS ialah Pengerusi Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) dan pernah menjalankan tugas sebagai Timbalan Ketua Pendakwa Raya, Tribunal Rakyat Antarabangsa, Sesi mengenai Dakwaan Jenayah Negara yang Dilakukan di Myanmar terhadap Rohingya, Kachin dan Kumpulan Lain , September 2017.

The post Rohingya: ASEAN perlu tangani punca appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved