KUALA KRAI – Helah penyeludup menyumbat longgokan rokok tidak bercukai yang dibalut dengan guni dalam sebuah lori terbongkar selepas kenderaan itu ditahan dalam satu operasi di Jalan Kuala Krai–Gua Musang, Kuala Krai pada 10 Mac lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pemeriksaan lori jenis Nissan berwarna putih itu dilakukan Pasukan Task Force Ketua Polis Kelantan di hadapan Sekolah Kebangsaan Peria, Kilometer 15, Jalan Kuala Krai–Gua Musang pada jam 9.30 pagi.
“Lori dipandu seorang lelaki tempatan berusia sekitar 50 tahun dalam keadaan mencurigakan dan ditahan.
“Pemeriksaan lanjut di bahagian muatan belakang lori menemukan longgokan kotak yang dibaluti guni yang dipercayai mengandungi rokok tidak bercukai daripada pelbagai jenama,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, hasil rampasan kes melibatkan sebanyak 300 peti rokok tidak bercukai yang dianggarkan mengandungi lebih tiga juta batang rokok.
“Turut dirampas sebuah lori 6.5 tan yang digunakan untuk mengangkut rokok tersebut.
“Anggaran keseluruhan nilai rampasan bagi kes ini lebih RM2.6 juta,” katanya.
Mohd Yusoff berkata, dalam operasi berasingan pada hari yang sama kira-kira jam 2 petang di Tanah Merah, sepasukan pegawai dan anggota daripada Cawangan (D9) Siasatan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan turut menyerbu sebuah rumah.
Katanya, serbuan itu membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penyimpanan rokok tidak bercukai.
“Hasil pemeriksaan di sebuah stor di belakang rumah tersebut menemui dua kotak rokok tidak bercukai serta dua buah telefon bimbit jenis yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut.
“Anggaran nilai rampasan bagi kes ini adalah RM7,000,” katanya.
Menurutnya, semua rampasan akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk tujuan analisis dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana memiliki serta mengendalikan barangan tidak bercukai, selain Seksyen 135(1)(d) akta sama kerana menyimpan atau memiliki barangan tidak berkastam atau barangan larangan import.
“Kerjasama masyarakat amat penting bagi memastikan kegiatan jenayah seperti itu dapat dibendung demi kesejahteraan serta keselamatan negara,” katanya.
