Rombakan Kabinet: 2 Menteri Gugur, Hannah Yeoh Dan Steven Sim Tukar Portfolio

LocalPolitics
16 Dec 2025 • 4:20 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

KUALA LUMPUR - Rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyaksikan beberapa perubahan portfolio dan pengguguran dua menteri.

Hannah Yeoh yang sebelum ini menerajui Kementerian Belia dan Sukan ditukarkan ke Kementerian Wilayah Persekutuan, menggantikan Dr Zaliha Mustafa. 

Turut bertukar ialah Steven Sim yang diberi mandat sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

image is not available

Tugasnya sebagai Menteri Sumber Manusia diambil alih Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri R Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh.

Rombakan kali ini juga menyaksikan pelantikan beberapa muka baharu, termasuk untuk jawatan Timbalan Menteri.

Antaranya ialah Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari yang dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan, menggantikan Yeoh.

Senator Dr Zulkifli Hasan pula dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), menggantikan Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang digugurkan.

Portfolio Zulkifli sebagai Timbalan Menteri kini disandang Marhamah Rosli.

Turut bertukar portfolio ialah Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang kini menyandang tugas sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, menggantikan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

image is not available

Kedudukan Johari sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi digantikan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Noraini sebelum ini bertugas sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. 

Tempatnya diambil alih Lim Hui Ying yang sebelum ini menjalankan tugas sebagai Timbalan Menteri Kewangan. - Getaran, 16 Disember 2025