Rombakan Kabinet tidak mampu tambah baik pembuatan dasar, banyak ideologi berbeza - BMI
herman
08/01/2024 - 14:28
KUALA LUMPUR 8 Jan - BMI, sebuah syarikat Fitch Solutions menjangkakan rombakan Kabinet yang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim buat kali pertama pada bulan lalu tidak akan banyak menambah baik aspek penggubalan dasar di Malaysia.
Dalam ulasan pada 5 Januari lalu, firma itu berkata, Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada pelbagai parti dan ideologi berbeza boleh menyebabkan kebuntuan polisi dan memperlahankan momentum perubahan.
Namun begitu kata BMI, kedudukan inflasi negara yang bertambah baik dan pasaran buruh yang berdaya tahan akan membantu mengekalkan risiko ketidakstabilan sosial pada tahap yang rendah.
BMI berkata, perubahan portfolio menteri dan kemasukan nama baharu mencerminkan keghairahan Anwar untuk memanfaatkan kepakaran pemimpin berpengalaman sambil memberikan peranan penting kepada setiap parti komponen gabungan itu.
"Ini digambarkan melalui pelantikan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dari Parti Amanah Negara (Ammanah), sebagai Menteri Kesihatan dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani dari UMNO sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi.
“Selain itu, Steven Sim daripada DAP dinaikkan pangkat kepada Menteri Sumber Manusia, menjadikan saiz Kabinet kepada 31 menteri, meningkat daripada 28 sebelum ini,” katanya.

Menurut BMI, kepelbagaian ideologi parti dalam Kerajaan Perpaduan bukan sahaja boleh memperlahankan momentum reformasi tetapi juga melemahkan imej mereka sebagai sebuah kuasa yang disatukan.
“Belum pun seminggu selepas rombakan Kabinet, Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai menggesa kerajaan mengembalikan semula pilihan raya kerajaan tempatan di ibu negara dalam usaha untuk menegakkan tadbir urus demokrasi.
“Bagaimanapun, cadangan itu tidak diterima oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, yang menjelaskan UMNO tidak akan sekali-kali bersetuju dengan pilihan raya kerajaan tempatan.
“Begitu juga, Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub yang percaya tadbir urus demokrasi mencukupi dalam struktur sedia ada dengan ahli Parlimen yang dipilih terus mewakili kawasan masing-masing,” katanya.
BMI berkata, kemajuan rangka kerja “Ekonomi Madani” telah dihalang oleh permintaan global yang lemah yang diramalkan akan perlahan daripada 2.6% pada 2023 kepada 2.1% pada 2024.
“Seterusnya, ini boleh menjejaskan prospek pelaburan Malaysia dan pencapaian sebenar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Pada masa ini kami menjangkakan pertumbuhan KDNK sebenar Malaysia mencapai 4.4% pada 2024, secara amnya sejajar dengan anggaran konsensus Bloomberg sebanyak 4.5%, dan melebihi anggaran pengembangan 3.9% pada 2023,” katanya.- DagangNews.com

