Rompak: Dua lelaki bakal dibicara 27 April

LocalPolitics
3 Mar 2026 • 3:57 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Dua lelaki yang didakwa merompak seorang lelaki sebanyak RM8,000 akan dibicarakan selepas pengakuan bersalah mereka ditolak apabila mempertikaikan fakta kes.

Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain menolak pengakuan bersalah Zulkifli Said, 47, dan Ahmad Khuzairi Zulkifli, 25, yang sebelum itu mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Bagaimanapun ketika fakta kes dibacakan kedua-dua tertuduh mempertikaikan sebahagian daripada versi pendakwaan.

Mereka didakwa merompak Teo Haw Chung, 32, sebanyak RM8,000 kira-kira jam 5 pagi pada 11 Februari lalu di Kedai Supply Food of Pack, Jalan Siren, Tanjung Aru.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding Zulkifli mengaku melakukan kesalahan itu dan merayu hukuman ringan dengan alasan menghidap diabetes serta mempunyai dua anak untuk ditanggung selepas bercerai.

Namun Zulkifli kemudian mendakwa hanya mengambil beg tersebut dan meninggalkan lokasi kejadian menyebabkan mahkamah menolak pengakuan bersalahnya.

Zulkifli turut memberitahu mahkamah bahawa dirinya hanya diminta mengambil dokumen dari dalam beg berkenaan.

Ahmad juga mengaku bersalah namun memaklumkan mahkamah bahawa fakta kes yang dibentangkan adalah tidak benar.

Mahkamah menetapkan 27 April ini untuk pengurusan kes pra-perbicaraan dan memerintahkan kedua-dua lelaki itu direman lanjut sehingga tarikh berkenaan.

Zulkifli dan Ahmad dinasihatkan supaya melantik peguam bagi mewakili mereka.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir.