
KUALA LUMPUR - Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata sudah sampai masanya Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertimbangkan untuk berundur daripada jawatan Presiden Bersatu.
Menurut Ronald, ini kerana Muhyiddin jelas gagal menguruskan krisis dalaman parti dengan berkesan, sehingga ia dibiarkan berlarutan ke tahap yang hampir mustahil untuk dipulihkan.
Lebih malang, katanya, Muhyiddin dilihat menggunakan seluruh baki kekuatan yang ada semata-mata untuk mempertahankan kedudukannya sebagai Presiden demi memenuhi agenda peribadi untuk kembali menjadi Perdana Menteri, termasuk menghalang laluan Datuk Seri Hamzah Zainudin daripada memimpin Bersatu pada masa hadapan.
“Tindakan Lembaga Disiplin (LD) Bersatu untuk menghadapkan Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin, atas tuduhan lama dan baharu adalah satu langkah yang jelas bersifat regresif serta bercanggah dengan usaha memperkukuhkan parti bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
“Lebih membimbangkan, tindakan LD menghadapkan Ketua-Ketua Bahagian termasuk wakil rakyat Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri yang menyokong Datuk Seri Hamzah Zainudin memperlihatkan penyalahgunaan prosedur disiplin secara terdesak bagi membungkam suara pimpinan utama parti daripada terus menyampaikan pandangan, teguran dan maklum balas demi kelangsungan serta masa depan Bersatu,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Keadaan ini, kata Ronald, menyebabkan Bersatu pada pandangan rakyat kelihatan semakin hilang arah dan tersasar daripada matlamat perjuangan sebenar, seolah-olah perjuangan parti kini hanya tertumpu kepada usaha mengekalkan kuasa Muhyiddin serta melindungi kelompok penyokong pemimpin tertentu, tanpa mengambil kira hubungan dan kepercayaan rakan-rakan parti sahabat dalam gabungan Perikatan Nasional.
“Untuk memulihkan serta membina semula kekuatan sebenar Bersatu, termasuk memperkukuhkan hubungan strategik bersama rakan-rakan komponen Perikatan Nasional, sudah sampai masanya Muhyiddin Yassin mempertimbangkan untuk berundur daripada jawatan Presiden Bersatu.
“Saya percaya hasrat murni kenyataan ini boleh diterima oleh seorang pemimpin berjiwa besar seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin, apatah lagi pendirian ini selari dengan intipati kenyataan beliau sendiri di Singapura pada tahun 2008 terhadap Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi,’’ katanya.
Media baru-baru ini melaporkan Hamzah dipanggil oleh Lembaga Disiplin bagi siasatan berhubung dakwaan penglibatannya dalam kekecohan ketika Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) dan serangan terhadap Muhyiddin, yang juga presiden Bersatu.
Hamzah dijangka dipanggil memberikan keterangan pada Khamis ini di Ibu Pejabat Bersatu. - 10 Februari, 2026
The post Ronald Kiandee gesa Muhyiddin berundur, gagal urus krisis dalaman parti appeared first on Scoop.
