Ronaldo dinobat pemain terbaik sepanjang zaman

Football
14 Sep 2025 • 9:58 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
RONALDO FOTO: AFP

BINTANG sensasi Portugal, Cristiano Ronaldo menerima pengiktirafan berprestij apabila dianugerahkan gelaran 'Best of All Time' oleh Liga Bola Sepak Portugal.

Kapten Portugal itu yang kini bergelar penjaring terbanyak dalam sejarah bola sepak antarabangsa lelaki dengan 141 gol daripada 223 penampilan, sekali lagi menambah koleksi anugerah individu dalam kerjaya gemilangnya.

“Idola kepada jutaan peminat, beliau mendefinisikan satu era dan meninggalkan kesan yang tidak akan terpadam dalam sejarah bola sepak dunia.

“CR7 diberi penghormatan dengan anugerah Best of All Time, satu pengiktirafan selepas persembahan cukup gemilang dalam kerjayanya.

“Dikenali kerana etika kerja, daya saing dan ketepatan dalam detik-detik penting, pengaruh Cristiano Ronaldo jauh melangkaui angka statistik.

"Antara rekod individu, kejuaraan berpasukan serta pengaruh di media, beliau membina legasi yang meletakkannya sebagai yang terbaik sepanjang zaman,” tulis Liga Portugal.

Ronaldo, pemenang lima kali Ballon d’Or tidak dapat hadir ke majlis di Porto namun menghantar rakaman video sebagai tanda penghargaan.

“Saya ingin berterima kasih kepada Liga atas anugerah pemain terbaik sepanjang zaman ini. Seperti yang anda boleh bayangkan, ia satu penghormatan besar bagi negara saya.

"Saya mahu ucap terima kasih kepada semua rakan sepasukan, jurulatih serta semua yang telah membantu saya menjadi lebih baik,” kata penyerang Al Nassr itu.

Awal minggu ini, Ronaldo turut menyamai rekod penjaring terbanyak dalam sejarah Kelayakan Piala Dunia selepas menjaringkan gol penalti ketika Portugal menewaskan Hungary 3-2.

Ia juga merupakan gol ke-39 beliau dalam saingan kelayakan, menyamai rekod milik Carlos Ruiz dari Guatemala.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved