KUALA LUMPUR - Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) perlu meneliti laporan tahunan, kewangan dan kegiatan badan bukan kerajaan (NGO) berdaftar di bawahnya dengan lebih mendalam bagi memastikan terdapat pematuhan terhadap peraturan serta syarat.
Bekas Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan berkata, pematuhan perlu diperkasakan bagi membendung kegiatan salah laku atau penyelewengan.
Menurut tokoh masyarakat sivil yang aktif menyuarakan isu tadbir urus dan antirasuah itu, sesetengah NGO di negara ini dipercayai gagal menyediakan tiga dokumen tersebut untuk diaudit.
"Pengalaman saya dahulu memimpin TI-M, kami perlu muat naik semua (laporan tahunan, kewangan dan aktiviti). Jadi, ia terhenti di situ tidak ada syarat-syarat lain serta tidak dipantau sesiapapun.
"Mungkin (isu ini) menjadi satu kelemahan yang diambil peluang oleh kebanyakan NGO di mana mereka (ada antaranya) tidak wajib kemuka laporan daripada mana dapat dana, berapa banyak (peruntukan) disalurkan untuk aktiviti dan sebagainya.
"Saya harap pihak RoS teliti perkara ini kerana mungkin ia salah satu sebab penyelewengan boleh berlaku," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian di program Latihan Integriti: Perkasa Tadbir Urus, Akauntabiliti dan Kepimpinan Beretika anjuran Bahagian Syariah, Penyiasatan dan Integriti EXIM Bank Malaysia di Sheraton Imperial, di sini pada Rabu.
Mengulas isu semasa, Pengarah Urusan Oasis Revenue Sdn Bhd itu mengakui kecewa apabila sebuah NGO yang berkhidmat sebagai ejen pungutan zakat negeri tiba-tiba didakwa menyeleweng dana zakat sehinggakan perkara tersebut mengundang kemarahan orang ramai.
Beliau turut mempersoalkan sama ada wujud atau tidak pematuhan operasi standard (SOP), pengiraan jumlah kutipan yang diserahkan kepada pusat pungutan zakat serta komisen diterima NGO berkenaan.
"Saya rasa komisen atau fi dibayar kepada NGO ini disalahgunakan dan itu yang menyebabkan sehingga RM230 juta diseleweng.
"Ini amat mengecewakan kerana kita semua tahu menunaikan zakat adalah antara lima Rukun Islam. Apabila kejadian seperti ini berlaku, saya harap pihak berkuasa dapat lakukan siasatan mendalam dan ambil tindakan tegas.
"Isu wang zakat sangat sensitif sangat kerana ini duit umat Islam yang bayar zakat. Justeru, kita perlu beri ruang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk buat siasatan dan kalau ada bukti kukuh, dakwa di mahkamah," ujarnya lagi.
Tiga individu termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) ditahan pada Selasa lalu kerana disyaki menyeleweng dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.
Menurut sumber, dua suspek lelaki berusia lingkungan 50 dan 60-an ditahan antara jam 3 dan 5 petang dalam operasi yang dijalankan SPRM Selangor di Lembah Klang.
Sementara seorang lagi berusia lingkungan 50-an ditahan jam 2 petang ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Selangor.
Siasatan mendapat perbuatan tersebut berlaku antara 2018 hingga 2024 dan timbalan pengerusi NGO itu telah memindahkan RM230 juta ke dalam akaun syarikatnya bagi tujuan pelaburan serta peribadi.
Terbaharu, ketiga-tiga mereka ditahan reman selama empat hari bermula Rabu hingga 25 April bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009.
Perintah reman terhadap dikeluarkan Majistret Ameera Mastura Khamis selepas SPRM mengemukakan permohonan di Mahkamah Majistret Shah Alam.
Tidak lama kemudian, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) tampil mengeluarkan kenyataan dan merehatkan serta-merta ahlinya yang terlibat dalam siasatan berkaitan pengurusan dana zakat selepas ditahan SPRM.
Presidennya, Badlishah Sham Baharin berkata, pihaknya mengambil maklum laporan berhubung penahanan tiga individu di Hulu Selangor susulan kes berkenaan.
Menurut beliau, IKRAM memandang serius perkara itu sambil menegaskan bahawa integriti serta amanah sentiasa menjadi keutamaan dalam seluruh gerak kerja organisasi.




