SHAH ALAM - Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid dan Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor menjadi antara pemimpin terbaharu dikenakan tindakan disiplin oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas digantung hak keahlian selama dua penggal pemilihan parti.
Menerusi notis ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan, kedua-dua pemimpin terbabit didapati melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
Menurut notis berkenaan, penggantungan itu berkuat kuasa serta-merta dan secara langsung melucutkan semua jawatan yang dipegang mereka dalam parti selain tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan atas nama Bersatu sepanjang tempoh hukuman.
Bagaimanapun, mereka diberikan tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan parti.
Turut dikenakan tindakan sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sepetang, Ahmad Man.
Dalam perkembangan sama, Timbalan Ketua Armada Nasional Bersatu, Muhammad Faiz Rahmad yang juga Ketua Bahagian Hulu Langat dilaporkan dipecat daripada parti berkuat kuasa serta-merta.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan dua ADUN iaitu ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani dan ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis dipecat, manakala empat lagi pemimpin dikenakan tindakan penggantungan hak keahlian bagi tempoh dua penggal pemilihan Bersatu.
Antara digantung hak keahlian selama dua penggal pemilihan parti termasuklah ADUN Chenderoh, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain; Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Ahli Parlimen Rompin, Datuk Khalib Abdullah dan Ahli Parlimen Lumut, Nordin Ahmad Ismail.
Ia menjadikan jumlah keseluruhan pemimpin Bersatu dikenakan tindakan displin setakat jam 9 malam mencecah 10 orang.
Pada Februari lalu, selepas Datuk Seri Hamzah Zainudin dipecat dari Bersatu, 11 lagi pemimpin parti lagi turut menerima nasib sama setelah didapati melanggar Perlembagaan Bersatu.
Mereka yang terlibat ialah Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob; Ahli Parlimen Padang Rengas, Kapten Azahari Hasan; Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.
Tujuh lagi melibatkan Ketua Bahagian Bersatu iaitu Mohd Hassundi Hamzah (Larut), Yunus Nurdin yang juga Setiausaha Bersatu Sabah (Libaran), Datuk Abdul Aziz Ismail, Ahmad Nasir Mid (Selayang), Ahmad Ishak (Gopeng), Kamaruddin Majid (Telok Intan) dan Mohd Yunus Mohd Yusof (Tapah).





